Home Antarabangsa Presiden Melayu Pertama Catat Sejarah Penting Singapura – PM Lee

Presiden Melayu Pertama Catat Sejarah Penting Singapura – PM Lee

SHARE

SINGAPURA, 15 Sept (Bernama) — Upacara mengangkat sumpah Halimah Yacob sebagai orang Melayu pertama yang menjadi presiden Singapura selepas 47 tahun, merupakan peristiwa yang amat penting dalam sejarah republik ini, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Berucap pada upacara itu di Istana hari ini, Lee berkata Halimah adalah orang Melayu pertama dipilih menjadi presiden negara ini sejak jawatan itu ditentukan melalui pemilihan pada 1991, dan Halimah adalah presiden pertama yang dipilih selepas perubahan besar dilakukan terhadap Perlembagaan negara ini tahun lepas.

Halimah juga merupakan presiden wanita pertama Singapura, katanya.

“Hari ini, kita meneguhkan lagi ikrar Encik Lee Kuan Yew yang dilafazkan pada 9 Ogos 1965, sejurus selepas kita mencapai kemerdekaan, bahawa ini bukan negara orang Melayu, orang Cina atau orang India. Setiap orang mempunyai tempat, secara sama rata: tanpa mengira bahasa, budaya, agama.

“Kita memilih impian yang lebih mulia: Singapura yang bersifat pelbagai kaum, pelbagai agama,” kata beliau.

Lee berkata selepas setengah abad, Halimah yang dipilih sebagai presiden, menjadi suatu simbol jelas tentang tekad Singapura untuk memelihara dan berpegang teguh dengan impiannnya itu.

“Ini menjadi sesuatu yang amat penting lagi dengan mengambil kira trend yang wujud di rantau ini dan di seluruh dunia sekarang. Pada zaman nasionalisme etnik semakin menonjol sekarang, keganasan puak ekstremis menyemai perasaan curiga dan takut manakala ideologi eksklusivis mendalamkan lagi jurang perbezaan komunal dan agama di Singapura ini,” katanya.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Bernama

Comments