Home Tempatan Presiden MCA: Kabinet tidak bincang isu RUU 355

Presiden MCA: Kabinet tidak bincang isu RUU 355

Tiong Lai berkata MCA sudah pun mengadakan perbincangan dengan masyarakat Cina dan telah mengemukakan pendirian pihaknya kepada perdana menteri.

SHARE

PETALING JAYA: Kabinet dalam mesyuarat mingguan semalam tidak membincangkan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Menteri pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dipetik The Star sebagai berkata: “Tidak ada perkembangan baharu berkaitan Rang Undang-undang 355. Ia tidak dibangkitkan dalam mesyuarat hari ini (semalam).”

Pada asalnya, presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disebut-sebut akan membentangkan rang undang-undang persendirian itu tetapi baru-baru ini kerajaan berkata ia akan membawa perkara tersebut ke Parlimen.

Minggu lalu, timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan, bukan Hadi yang akan membentangkan RUU 355 di Parlimen.

Ahad lalu, Hadi berkata, PAS menganggap hasrat Barisan Nasional (BN) untuk membentangkan sendiri RUU 355 di Parlimen sebagai keputusan tidak muktamad.

Kata Hadi, PAS memilih untuk melihat terlebih dahulu isi kandungan RUU355 dan berharap agar ia tidak menjejaskan kepentingan semua pihak.

RUU 355 pertama kali dibentangkan Hadi pada Mei 2016 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

Ahli Parlimen Marang itu pada sesi terakhir Parlimen November lalu meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimun 100 sebatan berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Tiong Lai yang juga presiden MCA berkata: “MCA sudah pun mengadakan perbincangan dengan masyarakat Cina dan kami telah mengemukakan pendirian kami kepada perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) mengenai isu ini.”

“Kami menentang RUU 355 yang dicadangkan oleh Hadi kerana ia bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.”

Menurut laporan The Star, beliau kemudian mengadakan pertemuan peribadi di pejabatnya untuk membincangkan isu RUU 355. Mereka yang hadir ialah ketua-ketua MCA dan pemimpin-pemimpin persatuan Cina.

Antara yang hadir Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia, Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia dan Persekutuan Persatuan Cina Malaysia.

Setakat ini usul pindaan itu disenaraikan sebagai perkara ketujuh dalam Aturan Mesyuarat sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

Free Malaysia Today

Comments