Home Tempatan Presiden Majlis Peguam Gusar Dengan Tindakan Pasukan Petugas Khas 1MDB

Presiden Majlis Peguam Gusar Dengan Tindakan Pasukan Petugas Khas 1MDB

SHARE

George Varughese, Presiden Majlis Peguam Malaysia, menzahirkan kegusaran berikutan tindakan pengumuman yang dibuat oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB yang mengumumkan penahanan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Dalam kenyataannya yang disiarkan sebuah portal tempatan, George Varughese, menyatakan bahawa pihak Majlis Peguam berasa terkejut dan gusar dengan kenyataan media yang dikeluarkan olehPasukan Petugas Khas 1MDB yang mengumumkan penahanan Najib pada petang tadi, dan dalam masa yang sama mengumumkan bekas Perdana Menteri itu akan didakwa di Mahkamah pada pagi esok.

Menurut Presiden Majlis Peguam lagi, Pasukan Petugas Khas  tersebut tidak mempunyai bidangkuasa undang-undang untuk menahan Najib. Sebarang bentuk penahanan hanya boleh dibuat oleh pihak Polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sahaja.

“Pasukan Petugas Khas itu juga tidak berada di dalam kedudukan yang boleh menentukan sama ada Najib akan didakwa atau pun tidak”.

Menurutnya lagi tindakan Pasukan Petugas Khas ini menimbulkan pelbagai persoalan.

“Adakah Pasukan Petugas Khas ini telah diberikan kuasa untuk mengarahkan penahanan Najib? Adakah Pasukan Petugas Khas  ini diberikan kuasa secara sah untuk mendakwa Najib?”

Mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak ditahan pada jam 2:35 petang tadi dan susulan selepas itu Pasukan Petugas Khas 1MDB mengeluarkan kenyataan media mengesahkan penahanan tersebut.

Beberapa pihak turut mengemukakan kegusaran yang sama mengenai bidangkuasa penahahan di dalam kes ini.

Petang tadi, Pengerusi Pemantau Baru Malaysia, Dato’ Lokman Adam mengeluarkan kenyataan media mempersoalkan perkara yang sama.

Najib Tun Razak, dinyatakan akan didakwa di Mahkamah Jalan Duta pada jam 8:30 pagi esok.

Comments