Home Tempatan Doktor Gigi Palsu, PPIM Tak Campur

Doktor Gigi Palsu, PPIM Tak Campur

SHARE

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak pernah menyokong tindakan pengusaha pergigian tanpa lesen Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, dan berpendapat bahawa ianya adalah menjadi satu kesalahan jika menjalankan perniagaan itu tanpa lesen,” tegas Ketua Aktivisnya Dato’ Nadzim Johan.

Menurutnya, tuduhan dan kecaman oleh netizen rentetan daripada timbulnya perkara yang mendakwa PPIM membantu membebaskan ‘Doktor Gigi Palsu’ yang telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman kerana menjalankan perniagaan memasang pendakap gigi secara haram itu adalah tidak berasas dan tidak tepat malah tanpa fakta yang sahih.

Beliau berkata, kebanyakan mereka yang ‘menghentam’ PPIM tergolong daripada orang awam dan golongan profesional serta Doktor Gigi Bertauliah.

“Mereka menuduh PPIM membantu individu tersebut yang hanya mempelajari kaedah pemasangan pendakap gigi dari Youtube seolah-olah merendahkan martabat dan menghina usaha mereka yang berhempas pulas mendapatkan kelayakan dalam bidang perubatan pergigian,” tegas Dato’ Nadzim lagi.

Dato’ Nadzim juga menyatakan bahawa PPIM hanya berperanan dan terlibat dalam memberikan khidmat nasihat kepada pihak keluarga dan peguam ‘Doktor Gigi Palsu’ yang hadir berjumpa beliau selepas hukuman dijatuhkan kepada individu terbabit terutamanya daripada sudut perundangan dan kepenggunaan.

Menurutnya lagi, PPIM tidak pernah menyokong ataupun mengiktiraf tindakan yang dilakukan individu terbabit yang dilihat salah dan boleh membahayakan pengguna, bahkan PPIM tidak pernah mengeluarkan sebarang dana ataupun mengenakan sebarang caj kepada mana-mana pihak bagi membantu membebaskan ‘Doktor Gigi Palsu’ terbabit.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah mengumpulkan sebarang dana mahupun mempromosikan ‘fundraising’ sehingga mencecah RM70,000 seperti yang dinyatakan sebelum ini bagi membantu membebaskan individu tersebut.

“Sumbangan yang diberikan adalah dari sebuah kelab permotoran yang mengumpulkan jumlah wang terbabit atas bantuan orang ramai dan beberapa  Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain bagi membebaskan pesalah terbabit,” katanya ketika dihubungi Menara.my.

Menurutnya, segala ‘fundraising’ tidak melibatkan PPIM sama sekali dan ia dilakukan oleh Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PPEIM) yang terlibat secara langsung mempromosikan poster dan pengutipan dana berkenaan secara keseluruhan.

Comments