Home Tempatan PPIM mahu Operasi Berus diteruskan

PPIM mahu Operasi Berus diteruskan

SHARE
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menunjukan berus yang menggunakan bulu babi pada sidang media di ibu pejabat PPIM, Villa Puteri. NSTP/ HAFIZ SOHAIMI

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu Operasi Berus diteruskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi mendidik pekedai, pembekal dan pengguna.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata pengguna di seluruh negara sudah terkesan dengan isu berus cat bulu babi yang ditimbulkan apabila operasi berkenaan dilakukan sejak Selasa lalu.

“Bukannya kita hendak mencari kesalahan sesiapa dan merampas barangan jualan mereka. Sebaliknya, lawatan ke kedai atau premis perkakasan binaan ini untuk memberi pengetahuan kepada penjual bahawa barangan berkenaan tidak sesuai untuk kegunaan umat Islam.

“Pada masa yang sama dapat memberitahu pengguna untuk mendapatkan barangan yang suci, bersih dan selamat, termasuk berus cat yang bebas daripada unsur yang haram” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengarahkan bahagian penguatkuasaan kementerian itu menghentikan serta merta Operasi Berus di seluruh negara, mulai semalam.

Nadzim berkata, syor PPIM supaya produk berasaskan haiwan dicetak imej haiwan berkenaan pada kotak pembungkus atau produk, adalah untuk memudahkan pengguna membuat semakan sebelum membelinya.

“Orang tua yang tidak boleh membaca ataupun kanak-kanak boleh menyemak produk berkenaan dengan mudah. Apabila terlihat imej haiwan yang diharamkan pada kotak atau produk, mereka boleh menghindarinya.

“Pengguna akan tetap membeli barangan di kedai yang rata-ratanya dimiliki orang bukan Islam.

Apabila adanya maklumat atau imej haiwan, mereka bertanyakan barangan alternatif lain.

“Begitu juga penjual, mereka mahukan produk mereka laris, jadi saya tidak fikir cetakan imej berkenaan satu bebanan,” katanya.

Berita Harian

Comments