Home Tempatan Politik Islam dan demokrasi

Politik Islam dan demokrasi

SHARE
Gambar Hiasan

POLITIK Islam dianggap sebagai wasilah yang dapat membimbing manusia ke arah kebaikan dalam urusan dunia dan akhirat.

Pada realiti kehidupan hari ini, urusan manusia tidak akan terlaksana dengan adil dan baik kecuali dengan melaksanakan hukum-hukum yang digariskan dalam Islam. Ini merupakan tanggungjawab dibawa setiap pemimpin yang memperjuangkan politik Islam.

Politik Islam juga menyeru pemerintahan berlembut di tempat sepatutnya dalam melaksanakan hukum-hukum Islam. Ini amat penting supaya matlamat yang merangkumi sifat-sifat hak asasi manusia tidak dianiaya manusia lain.

Maka dengan itu, pengertian politik Islam adalah menyelesaikan maslahat umat manusia.

Ibnu Aqil melihat politik Islam sebagai suatu yang bersifat anjal, sentiasa hidup dan membawa manusia kepada kebaikan dan kebahagiaan untuk semua manusia. Malah, politik Islam sentiasa berubah mengikut peredaran zaman dan menerima pemerintahan demokrasi.

Prinsip-prinsip persamaan antara politik Islam dan demokrasi adalah seperti keadilan, kebebasan, persamaan, kesatuan dan syura. Konsep ini telah membawa kepada pengertian demokrasi Islam.

Pengarah Eksekutif Pusat Pengajian Islam dan Demokrasi berpusat di Algeria, Radwan A. Masmoundi menjelaskan tindakan Nabi Muhammad SAW tidak mencalonkan penggantinya dan menjelaskan cara pemilihan telah meninggalkan satu konsep penting iaitu demokrasi Islam atau kerajaan sendiri.

Walaupun al-Quran tidak menerangkan kaedah pemilihan pemimpin tetapi menekankan betapa pentingnya memilih pemimpin yang terbaik dalam kalangan manusia sendiri.

Pemilihan Saidina Abu Bakar RA, Umar Al-Khatab, Usman Affan dan Ali Abi Talib menunjukkan konsep syura berdasarkan perbincangan dan permesyuaratan dalam memilih pemimpin yang terbaik dalam kalangan manusia.

Politik Islam juga menggalakkan amalan dasar kepelbagaian parti politik supaya persamaan hak berpolitik wujud dan mengelakkan konsep satu parti.

Ini amat penting kerana Islam mengiktiraf kebebasan individu untuk menyatakan pandangan dalam pemilihan pemimpin. Malahan konsep kerajaan syura memperlihatkan keadilan yang ditonjolkan dalam pemilihan kepimpinan melalui persetujuan bersama antara semua lapisan masyarakat.

Ini menyebabkan perlunya kerjasama politik dalam kalangan parti-parti Islam apabila memilih pemimpin yang akan menerajui kepimpinan di negara ini.

Pendekatan pilihan raya yang digunakan dalam memilih kepimpinan negara disokong oleh politik Islam. Walau bagaimanapun, pilihan raya menurut konsep demokrasi Islam mempunyai tatacara yang berbeza.

Pertama, perjalanan pilihan raya yang diadakan perlu mengambil berat ke atas hak dan tanggungjawab dalam memilih kepimpinan negara.

Kedua, hanya parti politik yang tidak bertentangan dengan idealisme Islam dibenarkan bertanding.

Ketiga, calon-calon yang bertanding perlu mempunyai latar belakang akhlak yang baik.

Keempat, tohmahan, fitnah dan serangan mengaibkan individu yang terlibat dalam pencalonan pilihan raya tidak dibenarkan.

Malahan dalam pemilihan kepimpinan negara, persetujuan bersama dan permuafakatan diutamakan dalam konsep syura menerusi ijmak iaitu konsensus. Ini menyebabkan konsep Kanvas Strategi Sedia Ada dalam Strategi Lautan Biru (NBOS) kurang dipersetujui dalam politik Islam.

Kanvas Strategi Sedia Ada memetakan penawaran produk berasaskan kepada faktor persaingan utama dan perkhidmatan sedia ada. Ini merupakan pelanggaran kepada persetujuan bersama dan permuafakatan dalam konsep syura.

Produk kepimpinan politik Islam adalah memilih pemimpin yang terbaik bermaksud pemimpin yang ahli dalam bidangnya dan berakhlak yang diketahui umum.

Pemilihan kepimpinan tersebut bukannya berdasarkan kepada majoriti tetapi persetujuan dan permuafakatan bersama. Ini bertujuan mengelakkan diskriminasi ke atas minoriti yang ditinggalkan dalam konsep demokrasi.

Maka dengan ini strategi kanvas akan datang tidak boleh berdasarkan logik, nafsu dan kehendak manusia semata-mata. Ini disebabkan matlamat akhir politik Islam adalah melaksanakan hukum-hukum Islam atau syariat Islam. Malahan dalam dunia demokrasi Islam, sudah diperintahkan kepada umat manusia untuk melaksanakan syariat Islam.

Justeru dalam politik Islam meletakkan Islam sebagai agama separa demokrasi. Ini disebabkan umat Islam sebagai pembuat hukum dalam ijmak dan menyediakan asas kepada penyertaan popular orang ramai dalam memilih kepimpinan negara.

Kepimpinan ini akan mewakili mereka di Parlimen sebagai pembuat dasar berdasarkan ilmu yang mereka ahli dalam bidang tertentu. Maka apabila datang sesuatu dasar ingin dilaksanakan, konsep ijtihad memainkan peranan utama dalam penentuan undang-undang berdasarkan al-Quran dan sunnah.

Penjelasan ini menjurus kepada bukan untuk mencipta undang-undang tetapi untuk mencari cara terbaik melaksanakan undang-undang syariat.

Kesimpulannya demokrasi Islam sebenarnya menggalakkan keterlibatan umat Islam dalam keadilan pemerintahan, persamaan politik dan kebebasan berpolitik tanpa mengabaikan keabsahan dan legitimasi ALLAH SWT sebagai sumber kedaulatan.

Sebagai umat Islam, demokrasi Islam mengajar kita untuk melaksanakan hukum-hukum Islam sesuai dengan peranan kita sebagai khalifah di muka bumi ini.

Sinar Online

Comments