Home Tempatan Polis waspada ancaman Daesh di Kedah

Polis waspada ancaman Daesh di Kedah

SHARE
ALOR SETAR 26 DECEMBER 2016. Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff. NSTP/AMRAN HAMID

ALOR SETAR: Polis Kedah akan meningkatkan kawalan keselamatan di semua premis miliknya khususnya di balai polis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) untuk mengelak ia menjadi sasaran ancaman militan Daesh.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, berkata tindakan itu berikutan Kedah menjadi negeri paling tinggi mencatat rekod tangkapan Daesh sepanjang tahun lalu iaitu sebanyak 38 kes.

Mengulas lanjut beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 95 tangkapan direkod membabitkan Daesh tahun lalu di seluruh negara dengan Kedah menyumbang kes tertinggi sebanyak 39 peratus termasuk penahanan dua anggota polis dari negeri ini.

“Ancaman keselamatan yang ditimbulkan oleh IS (Daesh) semakin meningkat di negara ini dengan jumlah keseluruhan tangkapan terkini (berakhir 2016) adalah seramai 95 orang dan daripada jumlah itu, Kedah paling banyak iaitu 38 tangkapan.

“Untuk itu kita harus lebih berhati-hati dan meningkatkan kawalan keselamatan terutama di balai polis, IPD dan IPK, ” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat Deputi Superintendan (DSP) kepada 11 pegawai, di sini pagi tadi.

Pada majlis itu juga, Asri turut menyampaikan surat penghargaan kepada 24 anggota polis yang berjaya menyelesaikan kes jenayah dan dadah di negeri ini.

Pada masa sama, Asri berkata, daripada 38 tangkapan membabitkan Daesh yang dicatatkan di Kedah, lapan direkodkan di Pendang, diikuti tujuh di Baling, lima di Sik, empat di Kuala Muda, Kota Setar dan Kulim masing-masing tiga kes serta baki lima lagi di lain-lain daerah.

Berita Harian

Comments