Home Tempatan Polis terus pantau pengaruh Muhammad Wanndy

Polis terus pantau pengaruh Muhammad Wanndy

SHARE

MELAKA: Polis memberi jaminan, tiada lagi saki baki pengikut ketua militan Malaysia yang berpangkalan di Syria, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi di Melaka.

Bagaimanapun menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan, pihaknya sentiasa memantau segala aktiviti yang disyaki ada kaitan dengan Muhammad Wanndy  bagi memastikan Melaka bebas kegiatan pengganas.

Beliau berkata, pihak polis sentiasa berjaga-jaga dan menjalankan kerjasama dengan penduduk setempat, khususnya di kampung halaman Muhammad Wanndy di Durian Tunggal, Alor Gajah.

“Kita juga melakukan pemantauan secara berterusan di kampung kelahiran Ketua Militan Daish Asia Tenggara itu di Masjid Tanah dan mendapati bahawa tiada aktiviti mencurigakan yang mempunyai kaitan dengannya atau kumpulan militan Daish,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini.

Jelasnya, meskipun sehingga kini tiada pengikut yang disyaki masih aktif di negeri ini, namun perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana pergerakan kumpulan ini licik.

Muhammad Wanndy sebelum ini disahkan terbunuh dalam satu serangan di Raqqa, Syria pada 29 April lepas.

Comments