Home Tempatan Polis syor Sabah haramkan ajaran songsang Millah Abraham

Polis syor Sabah haramkan ajaran songsang Millah Abraham

SHARE

KUALA LUMPUR, 21 Rejab 1438H, Selasa – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mencadangkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mengharamkan segera ajaran Millah Abraham di negeri itu.

Beliau berkata, cadangan itu sudah dimaklumkan kepada JHEAINS dan dirujuk kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Dr Juhar Mahiruddin, untuk tindakan lanjut.

“Gerakan Millah Abraham dilihat sebagai menyimpang daripada ajaran Islam. Gerakan ini belum diharamkan di Sabah dan polis mengesyorkan pengharaman itu supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan segera,” katanya di sini, hari ini.

Polis katanya, hanya menunggu keputusan Yang di-Pertua Negeri dan yakin persetujuan dapat dicapai bagi menyekat ajaran itu daripada terus berleluasa di Sabah.

“Kita mendapati ajaran ini bertapak antara dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak. Kita perlu cepat kerana tidak mahu gerakan ini terus berleluasa,” katanya.

Sebelum ini, Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Bukit Aman mendapati gerakan itu dikesan telah membeli banyak tanah di Sabah untuk dijadikan markas operasi mereka.

Pembelian tanah itu antaranya di Tuaran dan Simunjan, adalah dalam usaha untuk menubuhkan sebuah pemerintahan Islam atau Daulah Islamiah di rantau ini.

Comments