Home Tempatan Polis siasat MCA Taiping isu salah eja ‘perbatalan’ Agong

Polis siasat MCA Taiping isu salah eja ‘perbatalan’ Agong

SHARE

BATU KURAU, 26 April ― Walau MCA Taiping sudah memohon maaf, polis tetap menyiasat kain rentang yang dieja “perbatalan” Yang di-Pertuan Agong.

Kain rentang kuning sempena pertabalan Sultan Muhammad V di bangunan MCA bahagian itu juga telah diperbetulkan.

Polis Perak berkata ​walaupun pemilik kain rentang itu telah menukar perkataan itu, pihaknya tetap meneruskan siasatan, lapor Bernama.

“Siasatan tersebut ialah bagi mengenal pasti sama ada maksud bagi perkataan itu disengajakan atau pun tidak,” kata pemangku ketua polis negeri Datuk Hasnan Hassan.

“Sekiranya ia disengajakan, kes ini adalah amat serius kerana ia boleh menyebabkan keselamatan anggota masyarakat terancam.”

Isnin lalu, MCA Taiping mohon maaf atas kesilapan ejaan pada kain rentang ucapan sembah tahniah sempena pertabalan baginda, lapor Harian Metro.

Ketuanya Ang Sui Eng mengakui kesilapan ejaan perkataan “pertabalan” pada kain rentang terbabit dan menggantikan kain baru kelmarin.

Tambahnya, kain rentang itu dipasang selama seminggu tanpa menyedari adanya kesilapan tersebut ― di bahagian bawah yang berhuruf lebih kecil.

“Kesilapan itu hanya disedari 9 pagi hari ini [Isnin] dan kami terus menghubungi pihak yang membuat kain rentang itu untuk menurunkan dan menggantikan dengan yang baru serta tiada kesilapan,” katanya kepada akhbar itu.

The Malay Mail Online

Comments