Home Antarabangsa Polis Perancis tahan 3 suspek militan Daesh

Polis Perancis tahan 3 suspek militan Daesh

SHARE

PARIS: Polis Perancis, hari ini menahan tiga lelaki yang disyaki merancang serangan keganasan dalam serbuan di beberapa kawasan di ibu negara, Marseille dan bandar Clermont-Ferrand.

Sumber melaporkan, pasukan pemusnah bom dipanggil untuk mencari bahan letupan di rumah seorang daripada suspek berkenaan di Clermont-Ferrand.

“Polis mengambil keputusan untuk bertindak selepas mendapati suspek mempunyai rancangan untuk melakukan serangan,” kata sumber lain.

Menurut sumber perundangan, serbuan itu dibuat selepas menerima arahan daripada pendakwa raya antikeganasan di Paris.

Perancis yang digegarkan dengan gelombang serangan militan Daesh dari Januari 2015, kini dalam keadaan berjaga-jaga.

Pada 3 Februari lalu, seorang lelaki keturunan Mesir dan bersenjatakan parang ditembak selepas menyerang empat askar yang berkawal di luar muzium Louvre.

Seminggu kemudian, polis menahan empat individu di selatan Perancis, termasuk seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, dekat Montpellier kerana disyaki merancang serangan.

Dalam serbuan itu, polis menemui peralatan untuk membuat bahan letupan, sama seperti yang digunakan dalam serangan pada November 2015 di Paris. – AFP

Berita Harian

Comments