Home Antarabangsa Polis pakai pakaian Islam ketika serbu dadah dikritik

Polis pakai pakaian Islam ketika serbu dadah dikritik

SHARE

PARIS: Polis Marseille dikritik kerana dua anggotanya memakai pakaian tradisi Islam ketika melancarkan gerakan menangkap lelaki disyaki pengedar dadah.

Suspek ditahan Rabu lalu di kawasan kejiranan La Bricarde di utara bandar raya itu, bersama-sama dua lagi anggota kru dalam operasi yang menyaksikan 1.2 kilogram ganja dan 300 euro wang tunai dirampas.

Penangkapan itu tidak memberi sebarang kejutan jika dua daripada anggota polis itu tidak memakai qamis dan jilbab, yang selalunya dipakai umat Islam.

Penangkapan itu berjaya dirakamkan dan segera disebarkan menerusi media sosial.

Serbuan adalah sebahagian operasi dilakukan briged khas dalam kalangan pasukan polis, kata jurucakap Direktorat Daerah Keselamatan Awam.

Ramai berang kerana pegawai polis berpakaian seperti orang Islam ketika banyak pakaian awam lain boleh dipakai ketika operasi itu.

“Ini adalah kali pertama saya mendengar polis menggunakan strategi ini. Saya rasa polis tidak berhak berpura-pura Islam untuk menangkap seseorang.

“Mereka boleh saja memakai pakaian awam, tanpa perlu berpura-pura sebagai orang Islam,” kata seorang penduduk tempatan, Wassim, kepada saluran France 24.

Antara yang tidak bersetuju penggunaan pakaian tradisi Islam ialah pegawai polis veteran, Luc Poignant.

“Apabila ada operasi, ia dilakukan sama ada berpakaian awam atau seragam.

“Ia bertujuan dapat bercampur dengan orang awam tetapi bukan sehingga ke tahap ini,” katanya. – AGENSI

Berita Harian

Comments