Home Tempatan Polis Kelantan siasat dakwaan lelaki tempatan jual senjata api kepada Daesh

Polis Kelantan siasat dakwaan lelaki tempatan jual senjata api kepada Daesh

SHARE

KOTA BHARU, 14 Syaaban 1438H, Khamis – Polis Kelantan akan menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan seorang penduduk tempatan daripada kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini yang disyaki terbabit dalam membekalkan senjata api kepada militan Daesh.

Pemangku Ketua Polis Kelantan SAC Din Ahmad berkata polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berdasarkan undang-undang sedia ada di samping mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa negara jiran.

“Kita akan membuat siasatan secara menyeluruh dan tidak akan menyembunyikan sama ada mereka ini penduduk tempatan atau luar,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan Konvoi Perkhemahan Peringkat Kebangsaan Kor Kadet Polis Diraja Malaysia Kontinjen Kelantan Ke-19 di sini, hari ini.

Din berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar yang mengatakan terdapat seorang lelaki tempatan yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Daesh dan didakwa membekalkan senjata api.

Difahamkan, lelaki berusia 27 tahun berasal dari Rantau Panjang itu sudah melarikan diri ke Thailand selepas beberapa serbuan dijalankan oleh polis di beberapa kawasan di negara ini.

Turut dilaporkan, sejak awal tahun ini, seramai enam individu berusia antara 24 hingga 41 tahun termasuk dua wanita ditahan di lima negeri berasingan iaitu Kelantan, Selangor, Johor, Melaka dan Pulau Pinang selepas disyaki terbabit mempunyai hubungan dengan militan Daesh.

Sementara itu, sebanyak 46 pegawai dan anggota kadet sekolah di negeri ini dipilih menyertai perkhemahan tersebut yang akan berlangsung dari 11 hingga 15 Mei ini di Ulu Kinta, Perak.

Pemilihan peserta terbabit telah dijalankan melalui pertandingan kawad, pertandingan jalan lasak, rentas halangan, ronda pandu arah dan pertandingan menembak M16.

Din berkata mereka yang terpilih itu adalah yang terbaik untuk meneruskan cabaran ke peringkat kebangsaan dan berharap mereka melakukan yang terbaik dalam semua acara yang dipertandingkan.

Comments