Home Antarabangsa Polis Indonesia terima surat ugutan pengganas

Polis Indonesia terima surat ugutan pengganas

SHARE

JAKARTA, 5 Julai — Setelah sering melakukan siri serangan terhadap anggota polis di Indonesia, kumpulan pengganas di negara ini kini telah berani selangkah lagi dengan memasang bendera Daesh di pagar balai polis dan meletakkan surat ugutan.

Media-media dalam talian melaporkan kejadian itu berlaku pada pagi semalam di Balai Polis Seksyen Kebayoran Lama, Jakarta Selatan di sini.

Kejadian itu disedari setelah anggota polis di balai itu yang bertugas membuat rondaan keliling balai pada pukul 5.30 pagi menemui bendera militan pengganas itu terpasang di pagar balai berkenaan.

Selain bendera itu, terdapat sekeping kertas kuning yang dilekatkan dan mempunyai tulisan berbaur ugutan bahawa puak pengganas akan menjadikan Jakarta seperti Marawi di Filipina.

Marawi ialah sebuah kota di Pulau Mindanao di selatan Filipina yang kini dalam keadaan darurat kerana ditempur oleh pasukan keselamatan negara setelah kawasan itu dikuasai oleh kumpulan Maute yang dikaitkan dengan Daesh.

Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Daerah Metro Jaya Argo Yuwono dipetik sebagai berkata, antara perkataan yang ditulis dalam kertas kuning itu termasuklah mereka ingin menggulingkan hukum jahiliah dan diganti dengan hukum Allah.

Katanya, polis tidak terasa tergugat dengan perbuatan itu kerana pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan malah mendapat maklumat bahawa balai polis itu sememangnya menjadi sasaran puak yang mahu menimbulkan kekacauan.

Polis sedang membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan meminta keterangan daripada beberapa saksi yang berada di sekitar lokasi balai polis itu.

Pada Ahad lepas, dua anggota polis cedera setelah diserang dengan sebilah pisau oleh seorang lelaki yang tidak dikenali selepas solat berjemaah dalam sebuah masjid berhampiran Markas Besar Polis Indonesia di sini.

Pada Mei lepas tiga anggota polis terkorban dalam satu kejadian letupan bom bunuh diri oleh seorang lelaki di sebuah stesen bas di Kampung Melayu di Jakarta Timur.

The Malay Mail Online

Comments