Home Tempatan Polis bimbang dakyah IS di kalangan pelajar masih subur

Polis bimbang dakyah IS di kalangan pelajar masih subur

SHARE

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa keselamatan memandang serius mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang terlibat kegiatan keganasan seperti kumpulan militan IS, dan berkata jumlah mereka tidak berkurangan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kewujudan media sosial menyebabkan ideologi yang disebarkan semakin hari semakin berkembang.

“Saya kalau dulu tidak bimbang dengan Jemaah Islamiah (JI), tetapi disebabkan media sosial, masih ada usaha, tanda-tanda dan pengaruh yang disebarkan. Banyak ideologi IS ini masih mekar, masih subur disebarkan.

“Kalau diperhatikan, tidak ada tanda menunjukkan pengurangan. Kalau tidak lebih, jumlahnya konsisten, tetapi bukan berkurangan,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, sehingga sekarang, 48 mahasiswa ditahan kerana terlibat dalam kegiataan keganasan, 19 daripada mereka kerana penglibatan dalam IS. Selebihnya terlibat dengan JI dan al-Qaeda.

Ayob berkata hampir semua mahasiswa yang terlibat dalam IS direkrut tanpa sebarang pertemuan fizikal, dan hanya melalui media sosial.

“Hampir 95 peratus, kebanyakan mereka tidak berinteraksi secara fizikal,” katanya.

Selain mahasiswa sering terdedah kepada pelbagai blog di Internet, mereka juga dipengaruhi militan IS dari Malaysia, seperti Muhammad Wanndy Mohamed Jedi dan Mohd Rafi Udin, masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan yang merupakan antara pengganas paling dikehendaki.

“Mereka ini individu yang mempromosikan jihad di luar sana,” katanya.

Ayob menambah, kebanyakan mahasiswa yang terpengaruh untuk menyertai kegiatan militan adalah lelaki.

Free Malaysia Today

Comments