Home Tempatan Polis akan tangkap Raja Bomoh atas permintaan Jawi

Polis akan tangkap Raja Bomoh atas permintaan Jawi

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan hanya memanggil Ibrahim Mat Zin untuk diambil keterangan.

SHARE

KUALA LUMPUR: Polis hanya akan menangkap Ibrahim Mat Zin atau “Raja Bomoh” jika Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) meminta bantuan polis untuk berbuat demikian, kata ketua polis negara.

“Jika Jawi mahu kita tangkap dia, kita akan membantu mereka,” kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis penerimaan kereta Kia baharu di Bukit Aman hari ini.

Pada 12 Mac lalu, Ibrahim dilaporkan melakukan ritual di pantai untuk “memagar” Malaysia daripada serangan Korea Utara.

Video beliau dan pembantunya melakukan ritual menggunakan meriam buluh untuk “menggagalkan” ancaman asing atau serangan ke atas negara ini mula bersebar di laman sosial.

Raja Bomoh itu berbuat demikian susulan ketegangan politik antara Malaysia dan Korea Utara berikutan pembunuhan abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam, di klia2 pada 13 Februari.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah memanggil Ibrahim untuk memberi penjelasan berhubung ritual itu.

Bagaimanapun, Ibrahim dilaporkan tidak hadir dan mengabaikan arahan Jakim.

Khalid juga menolak laporan Bernama yang memetik beliau sebagai berkata polis akan menyiasat Ibrahim mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

“Kita tidak akan menyiasat dia di bawah CPC, kami hanya akan memanggil dia untuk memberi kenyataan.

“Kami hanya menjalankan tugas untuk membantu Jawi,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments