Home Antarabangsa PM Kanada hadir ke acara pengebumian penduduk Islam

PM Kanada hadir ke acara pengebumian penduduk Islam

SHARE

MONTREAL 3 Feb. – Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau semalam menyertai ribuan rakyatnya menghadiri acara pengebumian tiga daripada enam mangsa yang terbunuh dalam kejadian serangan di sebuah masjid di Quebec awal minggu ini.

Kira-kira 5,000 orang memenuhi arena hoki di Stadium Olimpik Montreal untuk memberi penghormatan terakhir pada acara pengebumian tersebut, manakala jutaan yang lain me­nyaksikannya menerusi siaran secara langsung.

Acara itu dilapor turut menjadi medan menyatukan seluruh rakyat Kanada apabila penganut Katolik, Yahudi dan umat Islam duduk bersebelahan sambil memeluk serta mengesat air mata antara satu sama lain ketika ayat-ayat al-Quran dibacakan.

“Rakyat negara ini dikejutkan oleh serangan kejam serta jenayah kebencian, tetapi pada saat-saat memilukan ini kita bersatu dan menunjukkan perpaduan,” kata Trudeau.

Dua warga Algeria, Khaled Belkacemi, 60, dan Abedlkrim Hassane, 41, serta seorang lelaki kelahiran Tunisia, Aboubaker Thabti, 44, dikebumikan dalam acara yang diadakan semalam.

Sementara itu tiga lagi mangsa iaitu dua rakyat Guinea, Mamadou Tanou Barry, 42, dan Ibrahima Barry, 39, serta lelaki kelahiran Maghribi, Azzeddine Soufiane di­kebumikan di Quebec City dalam satu acara berasingan awal hari ini.

Semua mangsa ditembak mati malam Ahad lalu ketika sedang menunaikan solat Isyak di Pusat Kebudayaan Islam Quebec.

Dokumen mahkamah mengenal pasti lelaki bersenjata dalam serangan itu sebagai pemuda kulit putih Alexandre Bissonnette, 27, yang berdepan enam tuduhan membunuh dan lima dakwaan cubaan membunuh. – AFP

Utusan Malaysia

Comments