Home Tempatan PKR Sarawak bangkang RUU 355 walau apa akibatnya

PKR Sarawak bangkang RUU 355 walau apa akibatnya

SHARE

PUTRAJAYA: Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian mendakwa walaupun kerajaan bercadang untuk mengecualikan Sabah dan Sarawak daripada RUU 355, namun beliau mengingatkan pihak kerajaan supaya jangan berharap pihaknya akan berasa lega dan akan membenarkan undang-undang ini lulus tanpa sebarang pertarungan. 

Menurutnya, cadangan pihak kerajaan terhadap pindaan RUU 355 yang hanya terpakai kepada orang Islam di Malaysia Barat dikatakan sebagai usaha mereka untuk memenangi hati Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang telah membantah rang undang-undang tersebut. 

“Jika ini adalah hasrat kerajaan, ia menunjukkan berlaku kecelaruan secara keseluruhan dan jelas menunjukkan penglibatan mereka terhadap rang undang-undang dari PAS dan cuba untuk menolaknya adalah bermotifkan politik,” katanya. 

Pada pandangan beliau, cara ini hanyalah langkah penyelesaian jangka pendek yang akan membuktikan pihak kerajaan BN/Umno tidak mempunyai kepentingan terhadap keterangkuman dan kesaksamaan, dan menunjukkan mereka tidak bimbang yang langkah ini akan membahagikan negara kepada dua, dimana masing-masing mempunyai sistem undang-undang sendiri.

Beliau juga mendakwa, rang undang-undang yang dipinda ini tidak adil kepada masyarakat di Malaysia Barat, dan Ahli Parlimen mesti sedar bahawa tugas mereka kepada rakyat tidak terhad hanya kepada orang-orang di kawasan mereka sendiri, tetapi meliputi semua rakyat Malaysia.

Menurut Baru Bian, langkah pengecualian RUU 355 terhadap Sabah dan Sarawak melanggar Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan, Pasal 8 (1) menyatakan: “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama dalam undang-undang”. Perkara 8 (2) memperuntukkan: “Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir, jantina dalam mana-mana undang-undang … “.

“Bagaimana mungkin kerajaan  boleh mempertimbangkan rang undang-undang yang bercanggah dengan Perkara 8 dalam hampir segala hal?”, soalnya. “Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak tidak boleh terpedaya dan mempercayai bahawa ini adalah cara yang baik untuk menjadi lebih bertanggungjawab atas tindakan mereka,” katanya.

Beliau juga mengingatkan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak supaya berdiri teguh dan tidak dipermainkan oleh tangan orang-orang yang akan menggunakan mereka sebagai buah catur dalam permainan politik. 

“Ini adalah ujian penting bagi Ahli Parlimen kita. Kita mempunyai peluang untuk membuat perbezaan dan mempunyai suara bagaimana Malaysia yang kita mahu,” katanya lagi. 

Comments