Home Tempatan PKR Parti Orang Islam, Tidak Sokong Ahli Hina Islam – Abdul Malik...

PKR Parti Orang Islam, Tidak Sokong Ahli Hina Islam – Abdul Malik Kassim

SHARE

PULAU PINANG: Isu berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap agama Islam yang dikeluarkan peguam sivil dan tribunal, Raveentharan Subramaniam baru-baru ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Batu Maung, Dato` Abdul Malik Abul Kassim.

Menurut Abdul Malik, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai beribu-ribu ahli, dan mereka boleh bercakap apa sahaja yang mereka hendak cakap mengikut pandangan peribadi masing-masing.

Katanya, kenyataan yang dibuat oleh salah seorang ahli PKR itu bersifat peribadi dan langsung tidak ada kena-mengena dengan pendirian PKR secara umumnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang berkata, pihaknya telah dimaklumkan bahawa Raveentharan sudah pun mengeluarkan permohonan maaf beliau secara terbuka di dinding Facebook miliknya.

“Dia (Raveentharan) sudah bertanggungjawab ke atas kenyataannya yang dikatakan menghina Islam itu.”

“Kita harap dia tidak mengulangi lagi kesilapan yang sama pada masa akan datang,” katanya.

Ditanya benarkah dakwaan Raveentharan bahawa beliau adalah ADUN PKR Batu Uban, Abdul Malik menegaskan bahawa sebenarnya Raveentharan hanya merupakan bekas ADUN PKR Batu Uban pada Pilihanraya Umum (PRU) penggal yang lepas iaitu tahun 2008 sehingga 2013.

“Kini beliau sudah tidak lagi berkhidmat sebagai Adun,” katanya.

Menurut Abdul Malik, Raveentharan secara peribadi mengeluarkan kenyataan itu, kemudian dia sudahpun memohon maaf di dinding FB miliknya dan kita perlu terima permohonan maaf dia itu.

Ketika ditanya adakah perkara ini merupakan pendirian ahli-ahli bukan Islam PKR tentang Islam, beliau menafikan hal itu sekeras-kerasnya.

“Mana boleh dibuat tohmahan sebegitu tentang PKR? Tidak bolehlah kita menuduh pendirian tidak bertanggungjawab sebegitu adalah pendirian PKR secara umum.”

“Takkanlah cuma hanya seorang yang berkata begitu keseluruhan ahli turut disalahkan?”

“Tidak bolehlah kita menuding jari kepada semua ahli PKR hanya kerana kesalahan seorang individu,” katanya.

Persoalan masyarakat umum yang kini mempertikai adakah pemimpin bukan Islam sebegini yang mahu diangkat oleh PKR, Abdul Malik menyifatkan, “Persoalan dan pertikaian seumpama ini langsung tidak masuk akal disebabkan Parti Keadilan Rakyat adalah satu parti yang didokong oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Takkanlah PKR akan berbuat demikian?” katanya.

Menurut beliau, pihaknya berpendirian tidak akan menyokong dan menaikkan orang yang bersikap sedemikian.

“Jika kita parti orang bukan Islam bolehlah persoalan sebegitu dibangkitkan,” katanya.

Comments