Home Antarabangsa Pintu Rafah dibuka sehari untuk rakyat Palestin terkandas

Pintu Rafah dibuka sehari untuk rakyat Palestin terkandas

SHARE

GAZA, 4 Jamadilakhir 1439H, Selasa – Pihak berkuasa rejim Mesir membuka pintu sempadan di Rafah, Semenanjung Gaza yang menghubungkannya dengan Semenanjung Sinai, hari ini, bagi membolehkan rakyat Palestin yang terkandas di negara itu pulang, kata pegawai Palestin.

“Pintu sempadan itu hanya akan dibuka sehari sahaja dan satu hala iaitu dari Mesir ke Gaza,” kata Pihak Berkuasa Sempadan Gaza dalam satu kenyataan.

Katanya, pintu sempadan itu hanya akan dibuka sekejap sahaja bagi membolehkan rakyat Palestin yang terkandas di sebelah Mesir pulang.

Dalam satu kenyataan berasingan awal hari ini, Kedutaan Palestin di Mesir berkata, pihak berkuasa negara itu bersetuju membenarkan rakyat Palestin yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pulang ke Semenanjung Gaza yang dikepung askar rejim pengganas Israel.

“Kakitangan kedutaan akan menguruskan penghantaran pulang rakyat Palestin ke Gaza,” kata kenyataan itu tanpa menjelaskan jumlah rakyat Palestin yang terkandas di lapangan terbang berkenaan.

Pihak berkuasa rejim Mesir bagaimanapun, belum lagi mengesahkan akan membuka pintu sempadan itu.

Semalam, kedutaan Palestin mengumumkan penubuhan ‘jawatankuasa krisis’ yang ditugaskan untuk memastikan rakyat Palestin yang terkandas di lapangan terbang itu sejak 9 Februari lalu, pulang ke Gaza.

Semenanjung Gaza yang berada dalam kepungan berikutan sekatan dikenakan rejim pengganas Israel dan Mesir sejak 2007, mempunyai tujuh pintu sempadan untuk ke dunia luar.

Enam daripada pintu sempadan itu dikawal rejim Zionis, sementara pintu Rafah dikawal oleh Mesir, yang boleh dikatakan ditutup sepanjang masa selepas Presiden Mesir, Mohamed Morsi – presiden pertama dipilih secara demokrasi – digulingkan dalam rampasan kuasa tentera diketuai Abdel Fattah el-Sisi pada 2013.

Rejim pengganas Israel pula menutup pintu sempadan komersial di Gaza pada pertengahan 2007 selepas Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menguasai Semenanjung Gaza daripada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dikuasai Fatah.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Comments