Home Tempatan Pindaan RUU 355 Tidak Menidakkan Isu ‘Good Governance’

Pindaan RUU 355 Tidak Menidakkan Isu ‘Good Governance’

SHARE

Kuala Lumpur: Dato’ Prof. Hj Mahamad Naser Disa menegaskan bahawa Pindaan RUU 355 sama sekali tidak akan menidakkan usaha penekanan ‘good governance’ dan lain-lain isu yang menjadi kerisauan rakyat umum, kerana ianya tetap berjalan seperti sedia kala.
 
Malah pendidikan terhadap isu tersebut juga harus berjalan berterusan tanpa sebarang gangguan.
 
Komen beliau ini dibuat apabila ditanyakan soalan perihal isu ‘good governance’ yang dituduh sesetengah pihak bakal dibelakangkan apabila Mahkamah Syariah diperkasakan kelak dan bukan tepat pada waktunya lagi, dalam program ‘Bual Bicara Khas Pindaan RUU 355’ di TV Al Hijrah semalam.
 
“Dalam keadaan sekarang pun, ketika kita mahu memperkukuhkan Syariah, ‘good governance’ tetap kena berjalan. Semua harus memainkan peranan mereka masing-masing sebagai satu pasukan dengan asas akidah yang betul dan kuat.”
 
Tegas beliau usaha untuk memperkasakan perundangan Syariah tidak bermakna semua aktiviti harian umat Islam harus terhenti, malah jika semua orang sedar tanggungjawab sebagai seorang Muslim, penjawat awam khasnya, ingat akan sumpah Wallahi, Wabillahi,  Wataallahi seperti sumpah Yang di-Pertuan Agong kepada Allah SWT, bersumpah memelihara Islam, maka semua akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan.

Comments