Home Tempatan Pindaan RUU 355 tidak ambil hak orang lain – Jamil Khir

Pindaan RUU 355 tidak ambil hak orang lain – Jamil Khir

SHARE
KUALA LUMPUR 18 FEBRUARY 2017.Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyampaikan ucapan di Himpunan Rang Undang-Undang 355(RUU355) di Padang Merbok,Kuala Lumpur. NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) adalah untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah di negara ini.

Beliau berkata ia tidak mengambil “hak orang lain” dan himpunan terbesar membabitkan umat Islam hari ini diadakan berikutan polemik yang panjang dalam kalangan orang bukan Islam mengenai pindaan RUU 355 itu.

“Perhimpunan ini adalah bagi mengangkat martabat mahkamah syariah di tempat yang sepatutnya.

“Malam ini parti PAS dan UMNO bersama rakan parti lain serta badan bukan kerajaan (NGO) yang ada mahu menunjukkan kebersamaan dalam mengangkat martabat Mahkamah Syariah,” katanya dalam tazkirah selepas solat Maghrib pada Himpunan RUU 355 di Padang Merbok di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan perhimpunan itu wajar kerana kesukaran dalam memperjuangkan usaha memartabatkan Mahkamah Syariah.

“Kita tidak mengambil walaupun sedikit hak orang lain dan mengapa perjuangan ini dilihat sebagai tamparan kepada orang lain.

“Mereka menentang kerana tidak mahu melihat Mahkamah Syariah berkembang. Terima kasih kepada hadirin kerana tidak berganjak walaupun hujan lebat, ” katanya.

Jamil Khir berkata umat Islam tidak harus melihat RUU 355 dalam kaca mata politik, sebaliknya mengangkat martabat umat Islam sendiri.

“Banyak tohmahan kononnya pindaan yang dibawa Ahli Parlimen Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dikatakan tidak menepati kehendak syariah dan ditimbulkan persoalan “pintu belakang” untuk melaksanakan hudud, dengan dikelirukan antara Enakmen Kanun Acara Jenayah Syariah di Kelantan, ” katanya.

Beliau menjelaskan apa yang dibentangkan di Parlimen hanya membabitkan empat perkara saja iaitu qazaf (tuduhan zina), murtad, minum arak dan zina.

“Penetapan hukuman pula selepas perbincangan panjang dan ambil kira usia akta serta bandingan dengan hukum mahkamah sivil, ” katanya.

Berita Harian

Comments