Home Tempatan Pindaan RUU 355 selari kehendak al-Quran, sejajar perkembangan masa

Pindaan RUU 355 selari kehendak al-Quran, sejajar perkembangan masa

SHARE

PINDAAN ke atas Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 menjadi satu sejarah kerana mendapat tumpuan luar biasa dalam kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia.

Usul pindaan yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Hadi Awang adalah satu agenda yang dinantikan banyak pihak, sama ada mereka yang setuju atau yang menentang.

Walaupun pembentangan usulnya selesai, rang undang-undang ini perlu melalui beberapa proses pembentangan seterusnya pada sidang akan datang. Dalam sesi berkenaan Ahli Parlimen mempunyai ruang sangat luas untuk menyampaikan ucapan menyokong atau menolaknya.

Cadangan pindaan ini asasnya berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Secara keseluruhannya, kita boleh kategorikan bidang kuasa Mahkamah Syariah kepada dua, iaitu bidang kuasa jenayah dan bidang kuasa selain jenayah atau boleh juga disebut undang-undang sivil atau mal.

Bagi bidang kuasa selain jenayah, Mahkamah Syariah tidak tertakluk kepada syarat pemberian kuasa oleh undang-undang Persekutuan. Maksudnya, Mahkamah Syariah boleh membicarakan kes bukan jenayah seperti berkaitan perkahwinan, perceraian, pusaka dan seumpamanya tanpa terikat dengan kebenaran undang-undang Persekutuan.

Namun, bagi bidang kuasa jenayah, terdapat peruntukan Perlembagaan yang menetapkan peranan undang-undang Persekutuan untuk memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah. Butiran 1, Senarai II, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Mahkamah Syariah ‘hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini (butiran 1), tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang Persekutuan’.

Oleh itu, satu akta khusus diperlukan untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah. Pada 1965, satu undang-undang Persekutuan disebut RUU 355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 diluluskan di Parlimen bagi maksud memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah membicarakan dan menjatuhkan hukuman kes jenayah.

Namun begitu, akta ini bukan sahaja memberi kuasa, bahkan berfungsi menetapkan had kuasa Mahkamah Syariah dalam kes jenayah. Fungsi kedua ini berlaku sesuai dengan realiti Mahkamah Syariah pada ketika itu dari sudut saiz mahkamah, tahap kemampuan hakim, undang-undang jenayah syariah sedia ada dan penerimaan orang ramai terhadap Mahkamah Syariah. Semua faktor yang disebutkan ini sudah jauh berubah sesuai dengan perkembangan zaman.

Tingkat bidang kuasa

Ketika RUU 355 mula diperkenalkan, bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam hukuman jenayah adalah tidak lebih RM1,000 denda dan enam bulan penjara. Pada 1984, pindaan dibuat bagi menaikkan kadar maksimum hukuman kepada denda RM5,000, tiga tahun penjara dan enam kali sebatan. Kuasa Mahkamah Syariah yang dianggap rendah ini menyebabkan timbul desakan hebat untuk meningkatkan bidang kuasa sesuai dengan perkembangan semasa.

Dalam cadangan pindaan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Marang, kadar maksimum hukuman akan dinaikkan kepada denda RM100,000, 10 tahun penjara dan 100 kali sebatan syarie. Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 ini penting kerana beberapa sebab. Antaranya, akta ini sudah lama tidak dipinda sedangkan ia membabitkan had bidang kuasa mahkamah yang perlu disesuaikan dengan perkembangan masa.

Contohnya, dari sudut denda, kadar dikenakan adalah RM5,000 pada melalui pindaan 1984. Nilai wang pada 1984 dan sekarang sangat berbeza, maka pindaan adalah perlu. Selain itu, had dikenakan dalam akta sedia ada sangat rendah dibandingkan dengan Mahkamah Sivil. Bagi Mahkamah Sivil paling rendah iaitu Mahkamah Majistret, bidang kuasanya ialah lima tahun penjara, denda RM10,000 dan 12 kali sebatan.

Jika pindaan ini diluluskan, bidang kuasa Mahkamah Syariah hampir sama dengan bidang kuasa jenayah Mahkamah Sesyen. Perlu diingat juga, pindaan dicadangkan ini selari dengan perkembangan dan pembangunan institusi Mahkamah Syariah. Undang-Undang Jenayah Syariah semakin mantap dan terdapat kesalahan jenayah yang dikemaskini.

Bermula Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1988, hampir semua negeri kini mempunyai undang-undang khusus untuk jenayah syariah. Oleh itu, soal had hukuman terperinci tentunya boleh diurus dengan lebih kemas oleh undang-undang negeri. Cadangan pindaan ini sepatutnya dipersetujui oleh Ahli Parlimen bukan Islam jika mereka menghormati prinsip keadilan, hak wanita, kebebasan beragama dan demokrasi. Dari aspek keadilan misalnya, masyarakat Islam sepatutnya berhak mendapat perlindungan yang setaraf dengan bukan Islam dari sudut penjagaan kesucian perkahwinan.

Namun realiti kini, secara bandingannya perlindungan untuk keutuhan sistem perkahwinan kepada umat Islam lebih lemah berbanding perlindungan untuk masyarakat bukan Islam. Misalnya, dalam kes penipuan pendaftaran perkahwinan serta sindiket kahwin palsu, hukuman kesalahan ini dalam undang-undang untuk bukan Islam lebih tinggi iaitu 10 tahun penjara dan denda RM15,000 berdasarkan seksyen 40 Akta Pembaharuan Undang-undang (Pernikahan dan Perceraian) 1976.

Dari sudut hak wanita, perlindungan kepada isteri dalam kalangan masyarakat Islam kini adalah lebih kurang berbanding isteri bukan Islam. Misalnya, dalam kes membabitkan suami tidak bertanggungjawab menunaikan hak isteri hukuman di bawah mahkamah sivil akan lebih tinggi memandangkan bidang kuasa Mahkamah Sivil adalah lebih tinggi berbanding Mahkamah Syariah.

Dakwaan tidak wajar tentang RUU

Pindaan ini juga penting dari sudut kebebasan beragama. Kandungan pindaan yang dicadangkan itu sebenarnya adalah untuk menyesuaikan undang-undang yang sedia ada dengan ayat al-Quran. Kadar 100 kali sebatan disebut jelas dalam al-Quran Surah Al-Nur 24:2.

Oleh yang demikian, amatlah tidak wajar bagi Ahli Parlimen bukan Islam menghalang orang Islam mengamalkan kitab suci al-Quran. Selain itu, dakwaan bahawa pindaan ini akan membuka jalan kepada pelaksanaan undang-undang seperti potong tangan bagi pencuri adalah tidak bertanggungjawab.

Pertamanya, dakwaan berkenaan rentetan usaha menakut-nakutkan rakyat dengan Islam dan menjadikan ketakutan itu untuk kepentingan politik kepartian. Keduanya, pindaan yang dicadangkan itu sebenarnya sama sekali tidak ada kena mengena dengan kesalahan jenayah yang diperuntukkan di bawah Kanun Kesiksaan seperti kesalahan mencuri atau merompak.

Undang-undang hudud berkenaan tidak boleh dilaksanakan melainkan jika berlaku pindaan Perlembagaan – satu langkah yang amat sukar dalam keadaan parti kerajaan tidak menguasai lebih dua pertiga sokongan dalam Dewan Rakyat. Oleh yang demikian, tidak ada sebab bagi masyarakat bukan Islam menentang cadangan rang undang-undang ini.

Realiti bahawa bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah hanya untuk orang Islam mengukuhkan lagi hujah bahawa masyarakat bukan Islam tidak perlu risau dengan cadangan ini. Lagi pun, ini bukan undang-undang baharu, tetapi pindaan ke atas undang-undang sedia ada. Adalah diharapkan agar usaha pindaan ini mencapai tujuan dihasratkan dengan lancar dan jayanya bagi menjamin rakyat mendapat hak dan keadilan sewajarnya.

Berita Harian

Comments