Home Tempatan Pindaan dibentangkan kerajaan

Pindaan dibentangkan kerajaan

SHARE

POLEMIK mengenai pindaan Akta 355 masih belum reda lagi. Walaupun pelbagai usaha dan tindakan dilakukan bagi memberi penerangan kepada massa berkaitan akta ini, namun masih ramai yang keliru dan cuba mengelirukan.

Perkembangan terkini lebih menarik lagi apabila beberapa hari lalu Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan akan membentangkan pindaan Akta 355. Sebelum ini telah ada usul dikemukakan Ahli Parlimen Marang, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda akta tersebut. Namun ia dipolemikkan pelbagai pihak termasuklah mempertikaikan usul Presiden Pas itu. Mereka mahu kerajaan yang meminda akta tersebut.

Pengumuman TPM sudah pasti melegakan beberapa kalangan agar polemik sedang dimainkan itu dapat dikendurkan. Namun persoalan kini apakah perkara yang akan dikemukakan kerajaan ini? Adakah ia sama dengan yang diusulkan Ahli Parlimen Marang dahulu ataupun berbeza?

Sekiranya terdapat perbezaan, apakah perbezaan itu dilihat ‘tunduk’ kepada desakan masyarakat bukan Islam dan golongan liberal ataupun ia utuh tidak diusik seperti diusulkan dahulu? Dalam banyak keadaan, kerajaan ‘dilihat’ seperti memberi terlalu banyak ruang kepada golongan liberal. Ia menimbulkan kegusaran masyarakat Islam arus perdana. Banyak insiden di mana umat Islam mempersoalkan tindakan kerajaan terhadap isu berkaitan agama Islam.

Persepsi sebegini, sama ada betul ataupun tidak sudah pasti akan menjejaskan lakaran nama baik kerajaan di mata umat Islam. Tanda aras ini perlu dinaikkan jika mahu mengambil hati umat Islam.

Hakikatnya, sekiranya masyarakat Islam arus perdana melihat ia seperti ‘tunduk’ kepada tuntutan masyarakat bukan Islam dan golongan liberal, sudah pasti masyarakat Islam arus perdana tidak akan berpuas hati dan sekurang-kurangnya 300,000 yang berkumpul dalam Himpunan A355 pada 18 Februari lalu akan memikir kembali sokongan kepada kerajaan. Sekali lagi mereka akan melihat dari lensa kelemahan kerajaan mempertahankan agama Islam.

Namun sekiranya kehendak masyarakat Islam arus perdana ini dihormati, sudah pasti nama kerajaan akan harum dan ia memberi isyarat kuat kepada umat Islam untuk bersatu demi mempertahankan agama Islam.

Saya percaya jika benar kerajaan akan mengemukakan rang undang-undang bagi meminda Akta 355 ini, pindaan tersebut pastinya berbeza dari apa yang dibawa Ahli Parlimen Marang agar parti komponen dalam kerajaan akan melihat suatu kelainan daripada sebelum ini. Saya juga tidak pasti sama ada Pas akan bersetuju terhadap pindaan jika ada.

Walaupun saya tidak melihat sebarang kesalahan atau ‘keti-dakberperlembagaan’ usul dike-mukakan Presiden Pas tersebut, namun ia telah dipolemikkan dan dikelirukan pelbagai pihak. Perkara yang sudah jelas disamarkan dan yang faham dikelirukan. Hasilnya masyarakat menjadi bertambah kalut dan takut kepada pelbagai andaian yang tidak berasas.

Sekiranya benar kerajaan mahu membuat pindaan, saya percaya jalan terbaik adalah untuk mengadakan had hukuman dalam Akta 355 ini berbeza mengikut jenis kesalahan. Umpamanya kesalahan berat seperti berzina, liwat, muncikari, melacurkan diri dan lain-lain hendaklah diberi takat hukuman yang tinggi. Begitu juga kesalahan-kesalahan berkaitan aqidah, mestilah diletakkan takat hukuman yang tinggi.

Tetapi bagi hukuman kesalahan bersifat pentadbiran ataupun yang dizahirkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam, takat hukumannya boleh dikekalkan sebagaimana sekarang. Manakala hukuman bagi kesalahan lain boleh dihadkan tidak terlalu berat ataupun terlalu ringan.

Sekiranya formula ini digunakan, ada kemungkinan ramai boleh menerimanya. Namun, sekali lagi sebagaimana yang saya tegaskan di atas, rakyat akan meneliti apakah takat hukuman yang dibawa kerajaan dalam isu ini. Dalam musim pilihan raya seperti sekarang ini, rakyat menjadi lebih peka dan sensitif terhadap setiap perkara yang dilakukan dan tidak dilakukan kerajaan ataupun pembangkang.

Natijah akhirnya akan diterjemahkan kepada peti undi oleh pengundi semasa pilihan raya kelak.

Berbalik kepada pindaan Akta 355 ini saya menasihatkan orang ramai berbaliklah kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Sudah jelas Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan sendiri memberi mandat undang-undang Persekutuan bagi mengehadkan hukuman yang boleh dibuat oleh Dewan Undangan Negeri. Malah pindaan kepada Perkara 121 dengan memasukkan sub perkara (1A) memperkukuhkan lagi kedudukan mahkamah syariah yang tidak lagi boleh diperlekeh dan diketepikan oleh mahkamah sivil.

Sebagai seorang pengamal undang-undang syariah dan sivil, saya amat menantikan pindaan yang bakal dicadangkan kerajaan. Cadangan ini pasti akan membuka mata pelbagai pihak serta memberi anjakan paradigma kepada umat Islam tentang persepsi mereka terhadap kerajaan.

Mempertahan dan memperjuang agama Islam memerlukan kesatuan dalam kalangan umat Islam. Perpecahan hanya membawa kepada kelemahan umat.

Sinar Online

Comments