Home Tempatan Pindaan Akta 355 tak buka jalan pelaksanaan hudud

Pindaan Akta 355 tak buka jalan pelaksanaan hudud

SHARE
Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim –Foto Sinar Harian AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak membuka jalan kepada pelaksanaan hudud di negara ini.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata, ini kerana hukuman bagi pindaan kepada Akta 355 telah pun ditetapkan.

“Akta 355 tidak boleh ditukarkan kepada hudud. Ini bukan hudud, kerana hukumannya telah ditetapkan,” katanya kepada media selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Islam as the law of the land’ di sini, hari ini.

Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman penjara sehingga 30 tahun, denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan, berbanding hukuman semasa yang mengehadkan tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan yang boleh dijatuhkan mahkamah syariah.

Dalam pada itu, dalam syarahannya beliau membangkitkan persoalan mengapa orang bukan Islam menentang pindaan Akta 355 tersebut, sedangkan ia tidak langsung melibatkan mereka.

“Saya tidak nampak sebab kukuh mengapa orang bukan Islam menentang kerana ia tidak melibatkan mereka, sedangkan orang Islam gembira apabila hukuman Islam dilaksanakan ke atas mereka. Mengapa bukan Islam pula yang memperjuangkan kesaksamaan di dalam hal ini?

“Orang Islam tidak menuntut kesaksamaan di dalam hal ini (hukuman syariah) kerana semuanya tahu orang Islam di negara ini terikat dengan dua undang-undang. Sememangnya Akta 355 tidak melibatkan langsung orang bukan Islam. Apa yang bukan Islam perlu risau?,” kata beliau lagi.

Mengulas mengenai keperluan untuk melakukan pindaan terhadap Akta 355, Ahmad Fairuz berpendapat, ini adalah kerana semakin banyak kes yang melibatkan jenayah di bawah akta berkenaan berlaku ketika ini.

“Peningkatan hukuman ini diharapkan dapat mengurangkan orang Islam daripada melakukan kesalahan. Hukuman yang sedia ada tidak mencukupi bagi memberi rasa takut dan kesedaran,” katanya.

Secara tidak langsung, Ahmad Fairuz berkata, ini dapat menaikkan taraf mahkamah syariah yang masih di takuk lama dengan hukumannya yang paling tinggi jauh lebih rendah dari mahkamah majistret.

Sinar Online

Comments