Home Surat Pindaan Akta 355: Kemaruk undi bukan Islam jangan sampai hak umat Islam...

Pindaan Akta 355: Kemaruk undi bukan Islam jangan sampai hak umat Islam dinafikan.

SHARE
Dato' Prof. Hj Mahamad Naser bin Disa menjelaskan Pindaan Akta 355

Dalam negara berbilang kaum dan penganut agama seperti Malaysia, perkembangan politik negara yang berkait rapat  dengan hal ehwal keagamaan perlu ditangani dengan matang. Namun sikap sekelompok ahli politik sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam yang menentang penambahbaikan sistem kehakiman Syariah Negara amatlah dikesali. Penentangan mereka terhadap   pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah)1965 iaitu Akta 355 adalah petanda buruk kepada kematangan politik perpaduan di negara ini.  
 
Bukan sedikit penjelasan mengenai Akta 355 yang telah diberikan melalui pelbagai saluran media, seolah-olah umat Islam di negara ini terpaksa melutut kepada pihak bukan Islam, hanya untuk meningkatkan kuasa menghukum di Mahkamah Syariah, sistem perundangan yang tertua yang diwarisi zaman-berzaman oleh umat Islam di Nusantara ini termasuk Sabah dan Sarawak. Hakikatnya inilah buktinya amalan demokrasi yang mementingkan kelompok sendiri tanpa mempedulikan hak orang lain dalam banyak hal amat berbahaya kepada kestabilan politik negara.  Bagi pemerhati atau pengamal politik yang sering melemparkan tohmahan liar kepada orang Melayu dan umat Islam, mungkin saat ini perlu membuka mata dan minda mereka untuk  melihat siapa sebenar yang masih memiliki minda tertutup dalam era langit terbuka ini.
 
Hakikatnya sejarah juga telah membuktikan tiada seorang pun daripada masyarakat bukan Islam yang pernah terusik oleh penguatkuasaan undang-undang Syariah negara. Malah sebaliknya cubaan oleh peguam bukan Islam untuk beramal di Mahkamah Syariah pernah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan atas dasar peguam berkenaan tiada keimanan kepada sistem Syariah, masakan beliau mampu mengiktiraf keadilan Syariah. Justeru Perlembagaan Persekutuan menerusi butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan menetapkan bidangkuasa Mahkamah Syariah hanyalah terhad kepada penganut agama Islam sahaja.
 
Daripada aspek demografi, umum menyedari bahawa bagi setiap kawasan Parlimen di negara ini sememangnya pengundi-pengundi dari kalangan penganut agama Islam bukanlah suatu jumlah yang kecil untuk dikesampingkan kepentingan dan hak mereka. Bilangan pengundi Islam dalam suatu kawasan Parlimen yang paling kecil mungkin di Negeri Sarawak. Namun sekecil mana pun bilangan pengundi itu, hak dan kepentingan dalam perkara khusus keagamaan dan kekeluargaan untuk ditadbir menurut sistem perundangan yang mereka imani dan diiktiraf oleh Perlembagaan negara tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Apatah lagi bila hak dan kepentingan itu langsung tidak menyentuh kepentingan kelompok majoriti bukan Islam bagi kawasan berkenaan.
 
Jika sejak sebelum negara ini terbentuk pada tahun 1957 lagi umat Melayu beragama Islam sedia menerima dengan lapang dada penglibatan ahli politik bukan Melayu untuk mewakili mereka melalui proses demokrasi matang, kenapakah pula dalam hal memelihara kepentingan khusus umat Islam, pemimpin politik bukan Melayu gagal berfikiran matang? Kenapa masih mahu berpemikiran sempit tatkala negara sudah melebihi usia setengah abad lama, sedangkan pula dalam bidang kemajuan ekonomi mereka (bukan Islam) jauh lebih perkasa!
 
Tiadakah sedikit ruang untuk rasa berterima-kasih di sudut hati sanubari mereka?
 
Ahli-ahli Dewan Rakyat bukan Islam tidak berhak untuk menolak penambahbaikkan kepada Mahkamah Syariah hanya atas dasar mereka bukan Islam. Mereka perlu sedar yang mereka juga bertanggungjawab kepada sekelompok masyarakat Islam yang mereka wakili. Mereka langsung tidak mengorbankan hak peribadi atau hak kelompok bukan Islam yang mereka wakili. Pindaan ini hanya demi kepentingan masyarakat Islam yang mereka wakili. Jika kepentingan sedemikian yang begitu didambakan oleh masyarakat Islam tidak dapat mereka tunaikan, apakah yang boleh diharapkan dari mereka jika hak dan kepentingan umat Islam itu bercanggah dengan kepentingan peribadi mereka?
 
Apa rasional ahli-ahli Parlimen dari Sarawak termasuk yang beragama Islam menentang pindaan Akta 355 itu? Apakah hanya kerana mendapat sokongan kuat dari kalangan masyarakat Kristian, kepentingan masyarakat Islam sudah tidak dipedulikan? Adakah Ketua Menteri Sarawak yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak sudah lupa berapa besar sumbangan pembangunan termasuk dalam hal ehwal agama yang dicurahkan oleh Kerajaan Sarawak selama ini walaupun Ketua-ketua Menterinya adalah seorang yang beragama Islam. Jangan sampai terlalu kemaruk kepada sokongan padu masyarakat bukan Islam, kepentingan dan hak khusus umat Islam hendak dinafikan sedangkan hak bukan Islam tidak tersentuh waima sedikit pun.
 
Kepimpinan politik di peringkat Negeri perlu menyedari bahawa otonomi sebenar yang akan dinikmati hasil daripada pindaan akta 355 itu nanti adalah Kerajaan Negeri. Hanya Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan perkenan ketua agama Negeri iaitu Yang DiPertuan Agong, Sultan/Raja yang berkuasa untuk memutuskan sama ada untuk menaikkan kadar hukuman yang diperuntukkan dalam enakmen-enakmen Syariah Negeri. Akta 355 yang berada di bawah kuasa Parlimen hanya berfungsi menetapkan hukuman maksimum yang boleh digubal oleh Dewan-dewan Undangan Negeri . Kenapa Sarawak beria-ia menafikan hak Negeri-negeri lain untuk meningkatkan kuasa mahkamah Syariah sedangkan kuasa sedia ada di mahkamah Syariah di Sarawak itu pun dinikmati berdasarkan Akta 355 yang sedang berkuatkuasa itu. Jika pun Sarawak tidak berminat untuk menambah baik Mahkamah Syariahnya, Kerajaan Sarawak tidak perlu membawa enakmen-enakmen Syariahnya ke DUN. Biarkan umat Islam di Sarawak di takuk sekarang, jika itu kemahuan pemimpin politiknya.
 
Hakikatnya pihak yang bakal menikmati keharmonian dalam kehidupan kekeluargaan, sosial dan keagamaan adalah rakyat Sarawak dan seluruh rakyat yang beragama Islam sendiri. Bayangkan berapa ramai anak-anak Sarawak di pedalaman yang memeluk Islam dan berkahwin dengan pemuda Islam berkeluarga dan beranak pinak tetapi ditinggalkan begitu sahaja oleh suami mereka. Pihak suami mungkin tidak merasa bertanggungjawab kerana kadar hukuman yang bakal mereka tanggung jika disabitkan oleh Mahkamah Syariah hanyalah seribu ringgit. Jumlah denda yang tidak berbaloi itu jugalah menjadi punca pihak penguatkuasa agama menjadi lemah semangat untuk menguatkuasakan kesalahan sebegini.
 
Adakah menteri yang bertanggungjawab hal kekeluargaan yang kebetulannya dari  negeri Sarawak tidak mampu melihat ketempangan yang telah berlaku sejak puluhan tahun dan bukankah ini merupakan unsur penindasan kepada kaum sendiri? Berapa ramai para suami yang mengabaikan keluarga kerana ketagih arak, ketagih judi, gilakan perempuan joget atau GRO? Mereka langsung tidak peduli kepada penguatkuasa agama hanya kerana jumlah denda dan hukumannya teramat kecil.
 
Begitu juga dengan gejala sosial di kalangan remaja yang mengakibatkan gejala buang bayi meningkat setiap tahun, berterusan meningkat tanpa ditemui solusinya. Nah, YB Datuk Menteri inilah solusinya, yakni mendekati ajaran Allah yang perlu sama-sama kita laksanakan mudah-mudahan anak cucu-cicit kita di masa akan datang tidak mencemuh dan mencerca kita yang berhadapan dengan Allah SWT di alam barzakh kelak.
 
Alasan dan dolak-dalik kononnya pindaan A 355 bakal membuka ruang kepada Hudud juga adalah merupakan alasan dangkal. Adakah mereka tidak perhatikan bahawa Kanun Hudud yang diperkenalkan sejak tahun 1993 di Kelantan langsung tidak dapat dilaksanakan. Perlembagaan Persekutuan menerusi butiran 1 senarai Negeri telah menetapkan jenis-jenis kesalahan yang boleh digubal oleh DUN hanyalah terhad kepada kesalahan khusus kepada umat Islam dalam butiran itu sahaja. DUN tidak boleh menggubal undang-undang mengenai kesalahan-kesalahan jenayah seperti yang terkandung dalam Kanun Kesiksaan. Justeru kesalahan-kesalahan seperti mencuri, menyamun, merompak, rogol, bunuh, mendatangkan kecederaan tidak boleh digubal oleh DUN.
 
Bukan hanya DUN tidak boleh meluluskannya, malah jika ia diluluskan pun ia bukan berada dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah kerana bidangkuasa Mahkamah Syariah juga setakat kesalahan-kesalahan yang terkandung dalam butiran 1 itu juga. Malah mahkamah Syariah tiada bidangkuasa ke atas bukan Islam. Hatta jika berlaku persetubuhan antara Islam dan bukan Islam, hanya yang Islam sahaja yang boleh dituduh di Mahkamah Syariah. Sebaliknya jika seorang Islam merogol bukan Islam, siasatan dan pendakwaan bagi kes itu hanya boleh dilakukan oleh polis di bawah kesalahan kanun kesiksaan dan bukan Kanun Hudud.
 
Kesimpulannya terlalu amat banyak perlindungan kepada masyarakat bukan Islam yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan daripada disentuh oleh Mahkamah Syariah. Hanya ahli politik yang kemaruk kepada undi mereka sahaja yang hampir menjadi hilang kewarasan mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat bukan Islam untuk menolak pindaan kepada Akta 355 ini.
 
Hj. Mahamad Naser bin Disa (Dato’ Profesor)
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM)
Mantan Peguam Kanan Persekutuan (selama 25 tahun)
Di Jabatan Peguam Negara Malaysia.

Comments