Home Tempatan Pindaan Akta 355: Insya-Allah kata Hadi

Pindaan Akta 355: Insya-Allah kata Hadi

SHARE

PARLIMEN l Presiden PAS, Datuk Seri Abdu Hadi Awang, hadir ke parlimen hari ini walaupun keadaan kesihatannya kurang memuaskan.

Dalam keadaan begitu pun, beliau yang juga anggota parlimen Marang tetap yakin rang undang-undang persendiriannya akan dibacakan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Ditanya media mengenai usul beliau untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, itu Abdul Hadi hanya berkata sambil tersenyum: “Insya-Allah, insya-Allah.”

Beliau kemudian berlalu untuk menaiki kenderaannya.

Tidak seperti selalu Abdul Hadi kelihatan bersama dua individu lain yang memimpinnya ketika berjalan.

Beliau tidak hadir pada majlis pembukaan mesyuarat pertama penggal kelima parlimen ke-13 yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V semalam, kerana tidak sihat.

Pada November lalu Abdul Hadi membawa usul untuk meminda akta berkenaan yang turut dikenali sebagai Akta 355 dengan mencadangkan agar had hukuman kesalahan di mahkamah syariah dinaikkan menjadi 30 tahun penjara, denda M100,000 dan maksimun 100 kali sebatan.

Hukuman syariah buat masa ini terhad kepada penjara tiga tahun, denda hingga RM5,000 dan enam kali sebatan.

Rang undang-undang Abdul Hadi itu dipinda pada sesi parlimen lalu selepas diadakan mesyuarat bersama dengan anggota parlimen BN yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kerajaan dilaporkan merancang untuk mengambil alih rang undang-undang itu selepas bacaan kedua.

Sementara itu, Bernama melaporkan Usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) turut tersenarai dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Notis usul rang undang-undang itu, yang dikemukakan Abdul Hadi, tersenarai sebagai perkara ketujuh dalam aturan urusan mesyuarat.

Terdapat 39 usul yang tersenarai dalam aturan urusan mesyuarat pada persidangan Dewan Rakyat Penggal Kelima Parlimen ke-13 ini.

Cadangan meminda RUU 355 itu buat kali pertama dibawa ke Dewan Rakyat pada Mei 2016 dan usul itu sekali lagi dibaca Abdul Hadi pada 24 Nov tahun lepas.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari sehingga 7 April sementara Dewan Negara dari 17 April hingga 27 April.

Comments