Home Tempatan Pindaan Akta 355 hanya boleh dibuat di Parlimen

Pindaan Akta 355 hanya boleh dibuat di Parlimen

SHARE

PUTRAJAYA: Akta 355 yang sah dari segi Perlembagaan Persekutuan perlu digubal sekiranya had siling ke atas hukuman Mahkamah Syariah perlu dipinda. Menurut Dato’ Profesor  Hj. Mahamad Naser Disa, Ketua Pegawai Eksekutif di Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), perkara ini terkandung dalam butiran 1 Senarai Negeri yang menetapkan hukuman maksima yang boleh digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dikuatkuasakan di Mahkamah Syariah.

Memandangkan pelaksanaan hukuman-hukuman jenayah syariah ini adalah menerusi Akta 355, maka akta ini perlu digubal demi menaikkan kadar siling hukuman yang telah ditetapkan di dalam Akta tersebut.

Akta hanya boleh digubal oleh Parlimen melalui majoriti mudah, dan tidak memerlukan 2/3 majoriti seperti yang diperlukan untuk menggubal Perlembagaan Persekutuan. Penguatkuasaan undang-undang Syariah tidak begitu mantap selama ini kerana Akta 355 menetapkan hukuman siling yang rendah.

Selepas cadangan pindaaan Akta 355 ini diketahui umum, terdapat banyak kelompok yang tidak bersetuju malah menentang secara terang-terangan akan cadangan pindaan akta ini.

Menurut Dato’ Profesor  Hj. Mahamad Naser Disa, golongan penentang ini memberikan pelbagai helah untuk menghalang pelaksanaan pindaan Akta 355 kerana kesannya akan dirasai oleh pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan penguatkuasaan perundangan Syariah yang lebih mantap.

Ini adalah kerana dengan pindaan Akta 355, Mahkamah Syariah akan lebih berkuasa dalam mengekang isu pengabaian keluarga, masalah gejala sosial dan seksual, rasuah seks, pemerdagangan manusia bertujuan untuk aktiviti seksual dan tidak bermoral, penyelewengan akidah, kesalahan berhubungan dengan rukun Islam, arak, judi, ekstremisme dan pelbagai lagi.

“Keadaan ini (penentangan) suatu perkara biasa. Hanya kita agak terkejut dengan pendirian beberapa pihak yang kelihatan tidak mahu orang ramai tahu akan rahsia yang disembunyikan mereka. Mereka tercari-cari berbagai-bagai  helah untuk menentang pemerkasaan Akta 355 ini. Kadang-kadang, agak lucu apabila kita melihat kaki botol berbicara soal perundangan Syariah, kaki maksiat menonjolkan diri menolak penambahbaikan undang-undang mencegah khalwat…” tambahnya lagi.

Comments