Home Tempatan Pindaan Akta 355 bukti bukan negara sekular

Pindaan Akta 355 bukti bukan negara sekular

SHARE

KUALA LUMPUR: Pindaan Rang Undang-Undang 355 – Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak akan menjejaskan struktur negara Islam kepada sebuah negara sekular.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata negara sekular adalah negara yang tidak mempunyai sebarang elemen keagamaan dalam pentadbiran atau politiknya, sebaliknya Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memaktubkan Islam sebagai agama Persekutuan yakni agama bagi negara ini, tanpa menafikan hak menganut agama lain.

“Itu tidak betul (negara sekular). Kerajaan memperuntukkan bajet setiap tahun untuk memperkasakan Islam dan elemen Islam dalam semua bidang ekonomi, pentadbiran dan politik.

“Pindaan Akta 355 tidak menjejaskan status negara. Ia wajar dibincang berlandaskan konteks yang sedang diperkatakan ketika ini, iaitu mengangkat martabat institusi kehakiman Syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Dialog Bicara Harakah Siri 6, yang membincangkan isu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), 1965 (Akta 355) bertajuk Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera.

Turut hadir membahaskan topik berkenaan adalah Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hasan dan Ahli Parlimen Bebas yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Asyraf Wajdi berkata isu berkenaan adalah sebahagian agenda kerajaan tetapi wajar diperhalusi dengan teliti, sama ada usul persendirian yang dibangkitkan Ahli Parlimen Marang, yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan hasrat kerajaan adalah secocok dengan kepentingan umat Islam.

“Kalau pindaan Akta 355 diluluskan akan menjadi akta kerajaan. Sebelum kerajaan membentangkan penyata kepada Parlimen, kerajaan berhak membuat penelitian dan perhalusi. Akta ini akan dibahaskan sekali lagi sebagai bacaan kali kedua dan kali ketiga di Dewan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, Nasruddin berkata menjadi kewajipan bersama semua umat Islam di negara ini tanpa kira latar belakang politik dan agama untuk menyokong pindaan Akta 355.

“Isu ini menjadi isu bersama, kewajipan bersama semua pihak terutama PAS dan UMNO dalam memastikan kesinambungan Islam di negara ini.

Pindaan Akta 355 perlu sokongan ahli Parlimen Islam, kebanyakannya pemimpin UMNO.

“Justeru perlu ada kerjasama supaya Akta 355 berjaya dipinda. Bukan untuk kepentingan politik, tidak timbul soal mempergunakan atau dipergunakan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Berita Harian

Comments