Home Tempatan Pindaan Akta 164 suburkan gejala murtad, kata NGO Islam

Pindaan Akta 164 suburkan gejala murtad, kata NGO Islam

SHARE

Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan Islam menyifatkan cadangan untuk meminda Akta 164 akan memberi implikasi kepada penyuburan gejala murtad.

Ia sekali gus memperlekehkan ketetapan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak/Sivil Kali Ke-19, kata tiga NGO tersebut iaitu Pertubuhan Profesional Muslim Malaysia (PPMM), Majlis Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Makpen) dan Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas).

Justeru, ketiga-tiga NGO berkenaan menyeru rakyat beragama Islam serta ahli Parlimen Islam tidak kira apa jua ideologi politik supaya bersatu hati menolak hasrat kerajaan untuk meminda Akta 164, memetik laporan oleh portal berita milik PAS, Harakah Daily.

“Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak/Sivil Kali Ke-19 yang sebulat suara memutuskan antara lain mana-mana pasangan bukan Islam yang memeluk Islam dan mempunyai anak-anak di bawah umur 18 tahun hendaklah menjadi orang Islam selaras hukum syarak.

“Usul pindaan Akta 164 mencerminkan sikap pimpinan Umno, BN yang tidak cermat dan peka dengan sensitiviti umat Islam, di samping mengekang gejala murtad yang melanda umat Islam ketika ini,” kata Timbalan Presiden PPMM, Mohd Jamal Nasir dalam laporan bertajuk ‘NGO Islam tolak Akta 164’ itu.

Pada masa yang sama, beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila pimpinan Umno yang beragama Islam membenarkan usul meminda Akta 164 kerana begitu jelas mengancam akidah anak-anak di bawah umur 18 tahun kepada pasangan yang bercerai kerana memeluk agama Islam.

“Tindakan kerajaan meminda Akta 164 juga seolah-olah mencabar keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan ke-87, 2009 yang secara jelas memutuskan apabila salah seorang pasangan ibu atau bapa memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan tersebut adalah secara langsung beragama Islam,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Makpen, Mohd Zai Mustafa pula membidas tindakan kerajaan yang sepatutnya berbincang terlebih dahulu perkara itu dalam kalangan semua mufti.

“Sepatutnya cadangan pindaan Akta 164 ini dibincangkan terlebih dahulu.

“Adalah sangat wajar akta ini ditarik dan dikaji semula serta pindaan tersebut diperhalusi oleh sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Parlimen yang akan sertai oleh pelbagai ahli yang boleh memberi pandangan yang menyeluruh kepada kesejahteraan agama Islam, rakyat dan negara,” tambahnya.

Presiden Permas, Dr Abdul Kadir Warsi Mohamed pula berkata, hasil penelitian pihaknya ke atas pindaan itu memberi suatu peruntukan agama anak kepada pasangan yang bercerai kerana seseorang dari mereka memeluk Islam perlu kekal mengikut agama asal perkahwinan pasangan terbabit.

“Kesan dari pindaan tersebut ialah umat Islam akan mundur ke belakang lagi daripada keIslamannya, di mana ia bersifat secara automatik ke arah pelbagai syarat dikenakan untuk pemelukan Islam.

“Ia turut memberi kesan kepada kes-kes terdahulu yang masih belum diputuskan, walaupun pindaan hanya akan berlaku setelah kelulusan dan diwartakan oleh pihak kerajaan.

“Jika pindaan ini diluluskan ia merupakan mala petaka kepada agama dan umat Islam di negara ini,” tegas beliau.

Comments