Home Tempatan Pindaan Akta 164 gugur Fasal 88A dibentang

Pindaan Akta 164 gugur Fasal 88A dibentang

SHARE
Sumber Gambar: Malaysiakini

KUALA LUMPUR: Bagi mengelak berlaku percanggahan dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2016 (Akta 164) yang baharu dengan mengugurkan Fasal 88A di Dewan Rakyat.

Fasal 88A menyebut mengenai penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

RUU itu dibentangkan bagi bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said ,yang secara tidak langsung menggantikan RUU sama yang dibentangkan pada November tahun lalu.

Azalina dalam satu kenyataan berkata, kerajaan berpendirian bahawa pindaan RUU itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan keputusan kes di Mahkamah Persekutuan serta Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Katanya, keputusan itu juga dibuat bagi memastikan tiada mana-mana pihak mencabar kesahan undang-undang berkenaan di bawah Fasal (1) Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan serius dalam membuat pindaan terhadap undnag-undang ini demi menjaga keharmonian rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Ia juga memastikan tuntutan seperti hak jagaan dan nafkah anak sehingga peringkat pendidikan tertinggi adalah terpelihara dan terjamin,” katanya.

Pada April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan RUU itu ditangguhkan bagi membolehkan kerajaan meneliti semula cadangan pindaan dalam RUU berkenaan.

Katanya, kerajaan mahu memastikan pindaan itu tidak bercanggah dengan fatwa dan Perlembagaan Persekutuan, selain dapat memuaskan hati semua pihak.

Sebelum ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, menggesa kerajaan menangguhkan pembentangan RUU itu kerana ada pindaan yang bertentangan dengan Perlembagaan dan hukum syarak serta dianggap memperlekeh dan menghina Islam.

Harussani berkata, pindaan itu bertentangan dengan fatwa yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-87 pada Jun 2009.

Fatwa itu menyatakan, apabila seorang daripada pasangan ibu atau bapa memeluk Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan itu secara automatik beragama Islam.

Berita Harian

Comments