Home Tempatan Pindaan Akta 164 akan Merugikan Kerajaan Pada PRU 14 – Ustaz Zamehan

Pindaan Akta 164 akan Merugikan Kerajaan Pada PRU 14 – Ustaz Zamehan

SHARE

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), mahu kerajaan menangguhkan Pindaaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) kerana ia bukan saja melanggar hukum syarak tetapi juga bertentangan dengan Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Menurut Presiden ASWAJA, Ustaz Zamihan Mat Zin al Ghari, terdapat beberapa pindaan yang ingin dilaksanakan dalam akta berkenaan yang bertentangan dengan fatwa yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-87 pada bulan Jun tahun 2009.

Salah satu pindaan yang melibatkan pertentangan dengan fatwa kebangsaan adalah melibatkan agama anak selepas perceraian ibu bapa. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan apabila salah seorang pasangan ibu atau bapa memeluk Islam, maka status agama bagi anak bawah umur pasangan itu secara automatik beragama Islam.

Namun, pindaan Akta 164 ini menyebut bahawa apabila salah seorang pasangan memeluk Islam dan berlaku perceraian, maka penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan perlulah mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

“Jika pembentangan diteruskan oleh kerajaan ia jelas memperlekeh dan menghina fatwa bahkan tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.”

“Kerajaan sepatutnya menjunjung tinggi amanah rakyat dalam menjaga kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan proaktif bagi memanifestasi sumpah DYMM Yang Di-Pertuan Agong untuk menjaga Islam sepanjang masa.”

“Pindaaan Akta 164 jika dilaksanakan bukan saja memperkecil dan menghina kesucian Islam, malah berkemungkinan ia akan menimbulkan kebimbangan dan kemarahan umat Islam yang pastinya bakal merugikan kerajaan pada PRU-14 nanti,” tegasnya lagi sebelum mengakhiri temubual.

Semalam Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mendesak kerajaan supaya menarik semula Pindaaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) kerana bakal menafikan hak mualaf dan kedudukan Mahkamah Syariah.

Comments