Home Tempatan Pinda lesen hiburan keluarga, elak sindiket judi – JMM

Pinda lesen hiburan keluarga, elak sindiket judi – JMM

SHARE
PRESIDEN Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AG) perlu mengkaji semula undang-undang berkaitan pengeluaran lesen hiburan keluarga oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana ia dilihat menjadi ‘senjata’ kepada sindiket mesin judi daripada dikenakan tindakan.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah, berkata perkara itu perlu diteliti ketika AG mahu meminda undang-undang yang sudah lebih 30 tahun seperti dinyatakan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, baru-baru ini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya lesen hiburan keluarga dikeluarkan oleh pihak lebih berintegriti seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), berbanding PBT ketika ini, yang dilihat banyak penyelewengan berlaku.

“Pengeluaran lesen hiburan keluarga yang ketika ini menjadi tanggungjawab PBT dilihat sangat longgar. Ramai pengusaha mesin judi berselindung di sebalik lesen itu.

“Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak, tapi sangat mencurigakan apabila PBT memberi lesen itu untuk operasi di rumah kedai dan bukan kawasan komersial yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Tolak Judi Cyber, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Setiawangsa, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengetua SMK Taman Setiawangsa, Hasniah Ali dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Amiruddin Sahudi.

Azwanddin berkata, disebabkan undang-undang sudah lapuk, polis sukar mengambil tindakan, tambahan pula sindiket mesin judi sangat licik.

“Jadi, jika pengeluaran lesen diberikan kepada pihak lain seperti KPDNKK, PBT perlu memantau dan pihak polis boleh bertindak di bawah undang-undang baharu, yang boleh mengenakan hukuman lebih berat kepada sindiket mesin judi,” katanya.

Berita Harian

Comments