Home Tempatan Pilih al-Quran sebagai panduan

Pilih al-Quran sebagai panduan

SHARE

SHAH ALAM – Himpunan ummah sempena World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour bagaikan satu gerakan besar menggalakkan umat Islam menjadi insan yang lebih baik dengan berinteraksi al-Qurand an tadabbur kalam ALLAH itu.

Penyatuan ummah dan kefahaman mengenai ilmu terkandung dalam al-Quran menjadi agenda penting merealisasikan misi baca, faham dan amalkan kebaikan ilmu yang banyak dalam kitab suci tersebut.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, al-Quran mengajar nilai-nilai positif ini seharusnya kekal menjadi pilihan umat Islam sebagai panduan menjalani kehidupan.

“Hikmah diturunkan al-Quran itu agar umat Islam mentadabburi ayat-ayatnya, menggali ilmunya dan merenung hikmahnya. Umat Islam akan mendapat berkat dan kebaikan yang terkandung di dalam al-Quran.

“Maka itulah sebabnya kami memulakan pergerakan ini untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan umat Islam itu sendiri agar memahami agama Islam dengan membaca al-Quran, memahami dan mengamalkan ajarannya,” katanya.

Menurutnya, inisiatif ini juga seiring dengan rasa kesedaran bahawa majoriti umat Islam sendiri tidak memahami agama mereka, di mana ramai yang boleh membaca al-Quran tetapi tidak faham dan mengamalkannya.

“Kalau umat Islam di negara ini memahami al-Quran dengan betul, mereka boleh menjadi rakyat Malaysia yang lebih baik.

“Program ini mengubah umat Islam dan harus disokong serta menjadi agenda semua. Mereka yang mengaku Islam, tidak harus menolak program ini.

“Bila ini diterjemahkan dengan akhlak, orang bukan Islam juga mampu tertarik dengan Islam dan  kita berharap dapat melakukan transformasi agar lebih ramai faham dan amalkan agama dengan betul serta mula terjemahkan nilai yang baik dalam kehidupan seharian,” katanya.

World #QuranHour akan berlangsung 31 Ogos ini di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai lokasi perdana jam 11.30 pagi.

Kempen berinteraksi dengan al-Quran yang bertemakan Dunia Berbudi dan Penyayang itu turut diadakan secara serentak di seluruh dunia dengan majlis pelancaran akan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Padang Arafah, Makkah.

Manakala, Merdeka #QuranHour akan bermula jam 5 petang melalui program Gema Wahyu dan acara kemuncaknya jam 8.30 malam menghimpunkan qari dalam dan luar negara serta selebriti dengan memperdengarkan bacaan surah Yassin, sesi tadabbur, tazakkur serta doa untuk Malaysia.

Hussamuddin berkata, program tersebut terbuka kepada semua rakyat termasuk bukan Muslim.

“Jemputan kita terbuka, termasuklah pemimpin, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan bukan Muslim. Ini program ummah untuk ummah. Seharusnya dihidupkan dan didukung oleh ummah.

“Oleh itu, kita seru semua untuk datang beramai-ramai dan menjayakan gerakan ini bagi melakukan transformasi ke arah ajaran Islam yang sebenar,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap gerakan tersebut memberi gelombang kesedaran kepada umat Islam dan diteruskan pula melalui program Rumah Ngaji yang terdapat di seluruh negara.

“Apabila umat Islam mempunyai kesedaran dan keinsafan, mereka akan mula belajar mengaji. Tetapi bukan sekadar mengaji, perlu ada kefahaman dan mengamalkannya dalam kehidupan,” jelasnya.

Hussamuddin berkata, gerakan ini adalah program jangka panjang yang diharapkan memberi impak yang lebih meluas dengan adanya usaha umat Islam secara keseluruhannya.

Sinar Online

Comments