Home Tempatan Pesalah seksual bebas: apa kata NGO wanita?

Pesalah seksual bebas: apa kata NGO wanita?

SHARE

Isu kepulangan Selva Kumar Subbiah, 55, ke Malaysia apabila waran penahanannya tamat pada 29 Januari 2017 telah menimbulkan persoalan mengenai langkah-langkah keselamatan di negara ini untuk memastikan keselamatan awam dari kemungkinan adanya ancaman oleh pesalah seks terbabit.

Selva yang berasal dari Pulau Pinang dijatuhi hukuman 24 tahun penjara di Kanada pada tahun 1992 selepas didapati bersalah atas 19 tuduhan serangan seksual, 28 pertuduhan penyalahgunaan dadah atau bahan berbahaya, 10 tuduhan pelbagai jenis serangan dan sedozen caj lain, termasuk peras ugut dan cuba untuk mendapatkan seseorang untuk menjadi seorang pelacur.

Berita pembebasan Selva dan kepulangannya ke Malaysia sebelum ini menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan rakyat Kanada dan negara ini berikutan pihak berkuasa Kanada memberi amaran bahawa dia masih ‘belum berubah’ dan berkemungkinan akan mengulangi jenayahnya.

Semakan menara.my mendapati netizen meluahkan rasa bimbang terhadap kepulangan Selva ke Malaysia. Meskipun Selva yang telah menerima hukuman atas kesalahannya itu belum tentu lagi akan memberi ancaman kepada orang awam.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) Chong Eng berkata, pihaknya  ingin menggesa Kerajaan Malaysia untuk mempercepatkan penubuhan Pejabat Pendaftaran Pesalah Seks bagi menegakkan hak-hak semua, terutamanya kanak-kanak supaya dapat hidup dalam persekitaran yang lebih selamat.

Menurutnya, negara-negara seperti Kanada, Australia, United Kingdom dan New Zealand telah mempunyai pertubuhan yang didaftarkan bagi memantau pesalah seks termasuk maklumat yang boleh diakses oleh penguatkuasaan undang-undang.

Beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat berkata, pelanggaran privasi boleh dielakkan dengan hanya menyediakan akses kepada maklumat di bawah Pendaftaran Pesalah Seks untuk organisasi atau individu yang diberi kuasa seperti pusat jagaan kanak-kanak oleh badan-badan penguatkuasaan undang-undang, memandangkan maklumat yang didedahkan itu akan dirahsiakan.

Beliau berkata, sehingga kini, hanya Amerika Syarikat sahaja yang mempunyai maklumat untuk diakses oleh orang awam berhubung pesalah seks, bagaimanapun ia hanya terhad kepada tahap risiko tahap 2 (sederhana) dan tahap 3 (tinggi).

Menurutnya, Kerajaan Malaysia boleh menerima pakai dan menggunakan mana-mana model atau contoh yang sesuai dalam konteks tempatan.

“Negara perlu mengisytiharkan bahawa anak itu adalah harta yang paling berharga”.

“Saya percaya masyarakat  akan menerima apa-apa penyekatan dan pengurangan dari aspek kebebasan,”katanya. Menurut Chong Eng, sekiranya sesebuah pertubuhan Pendaftaran Pesalah Seks akan melindungi harta yang paling berharga di negara ini, maka ia perlu dilakukan secepat mungkin.

Kata beliau, sudah menjadi tanggungjawab PWDC dalam mendorong program dan membela dasar-dasar yang memberi kuasa kepada wanita dan masyarakat dalam merealisasikan kesaksamaan jantina dan keadilan sosial tanpa mengira kaum, agama, jantina atau sosioekonomi  dan latar belakang.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Tan Heang Lee berkata, Malaysia semestinya memerlukan pendaftaran pesalah-pesalah seks dengan segera dan sebuah mekanisme untuk memantau pesalah-pesalah seks ini.

Menurutnya, Kerajaan bertanggungjawab untuk bertindak secara konkrit dan proaktif untuk melindungi masyarakat awam.

“Kenyataan yang samar-samar tidak mencukupi untuk menjamin keselamatan awam, ia perlu diselarikan dengan tindakan yang sewajarnya.”

“Kerajaan perlu memaklumkan pelan tindakan mereka secepat mungkin agar masyarakat tidak panik dengan kehadiran unsur negatif yang boleh mencetuskan sebarang kemungkinan,”katanya.

Beliau berkata, Malaysia memerlukan sistem tindakan yang seragam dan selaras untuk pesalah-pesalah seks ini disebabkan terdapat juga pesalah-pesalah seks yang lain dalam komuniti kita.

“Kita memerlukan sistem tindakan yang menyeluruh yang meliputi semua pesalah seks yang lain, untuk menghindari kes-kes yang sama berulang lagi selain mempastikan keselamatan awam terjaga sepanjang masa,”katanya.

Pengarah Eksekutif Pusat Kesedaran Wanita, (WCC) Loh Cheng Kooi berkata, pihaknya berharap kerajaan terutamanya pihak berkuasa memperketatkan kawalan keselamatan bagi memastikan pihak terbabit agar kejadian lampau tidak berulangi .

Katanya, bukan sahaja golongan wanita, sebenarnya boleh dikatakan keseluruhan masyarakat awam juga akan merasa takut disebabkan sejarahnya sebagai orang yang merbahaya.

“Bagaimanapun kita berharap dia menjadi orang yang baik selepas dipenjara lebih 20 tahun dan hingga kini umurnya sudah pun menjangkau 50an,”katanya.

Menurut beliau, walau apa pun, pihak yang bertanggungjawab seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Keselamatan mesti memantau keadaan berkenaan supaya jenayah salah laku seperti kes-kes rogol di Malaysia dapat dibasmi sepenuhnya.

“Sebagai rakyat Malaysia kami mahu tahu apakah langkah yang akan dan sedang diambil oleh PDRM bagi menghilangkan keraguan dan ketakutan penduduk terhadap isu ini,”katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, orang ramai tidak perlu bimbang terhadap kepulangan Selva ke tanah air kerana PDRM juga memberi jaminan bahawa akan memantaunya “dari jauh” berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada supaya dia tidak memberi ancaman awam.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Chuah Ghee Lye menyatakan Selva tidak seharusnya diganggu dan perlu diberi ruang untuk menjalani kehidupan sekiranya dia pulang ke kampung halaman.

“Dia sudah menjalani hukuman penjara selama 24 tahun di Kanada, jadi tidak wajar untuk menghukumnya lagi. “Kita akan pantau dia sekiranya dia pulang ke Pulau Pinang, dan tiada halangan untuk dia bergerak ke mana-mana,”katanya.

Comments