Home Antarabangsa Pertubuhan Palestin terbesar di Britain dikeluar daripada senarai pengganas

Pertubuhan Palestin terbesar di Britain dikeluar daripada senarai pengganas

SHARE

LONDON, 7 Syawal 1438H, Sabtu – Pertubuhan memperjuangkan hak rakyat Palestin terbesar di Britain dikeluarkan daripada senarai pengganas pemerhati bukan kerajaan, yang menyebabkan akaun banknya ditutup oleh institusi kewangan terkemuka.

Palestine Solidarity Campaign (PSC) dalam kenyataan hari ini berkata, peguam mereka berjaya mengeluarkan pertubuhan itu daripada World-Check, yang menyenaraikan mereka pada 2015, berdasarkan tuduhan palsu terbabit dalam keganasan.

World-Check firma pangkalan data anak syarikat Thomson Reuters, memohon maaf kepada PSC dan berkata, ia sepatutnya tidak dimasukkan dalam senarai itu.

Institusi kewangan antarabangsa menggunakan pangkalan data World-Check untuk menyiasat latar belakang individu yang menggunakan atau berminat mendapatkan perkhidmatan mereka.

Pengerusi PSC, Hugh Lanning, percaya namanya dimasukkan dalam senarai itu disebabkan fitnah kerajaan Israel.

“Saya gembira, World-Check bersetuju ianya adalah salah untuk memasukkan nama saya ke dalam pangkalan data mereka, kerana tiada asas untuk saya terbabit dalam keganasan,” katanya.

World-Check tidak memberikan alasan segera mengapa PSC disenaraikan. Setiap profil pengganas dihimpun oleh Thomson Reuters, termasuk senarai sumber maklumat yang digunakan World-Check.

Senarai jenayah yang dimasukkan ke dalam pangkalan data World-Check, termasuk keganasan, penculikan, buruh paksa dan eksploitasi kanak-kanak untuk seks.

Akaun bank pertubuhan lain seperti CAGE dan beberapa organisasi Islam di Britain turut ditutup selepas nama mereka sewenang-wenangnya dimasukkan ke dalam pangkalan data World-Check.

Awal tahun ini, masjid Finsbury Park memenangi tuntutan 10,000 paund sterling, selepas disenaraikan dalam pangkalan data itu kerana dituduh ada hubungan dengan kegiatan pengganas.

Akaun bank masjid berkenaan juga dibekukan tanpa sebab. – Agensi

Comments