Home Tempatan Pertandingan video kreatif LGBT tak bertentangan hak asasi manusia

Pertandingan video kreatif LGBT tak bertentangan hak asasi manusia

SHARE

KUALA LUMPUR, 9 Ramadan 1438H, Ahad – Pertandingan Video Kreatif Kesihatan Seksual dan Reproduktif (SRH) Remaja Kebangsaan 2017 yang dianjurkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mendiskriminasi mana-mana pihak dan ia tidak bertentangan dengan hak asasi manusia.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, pertandingan bermula 1 Jun lalu hingga 31 Ogos yang bertemakan ‘Hargai Diri, Amalkan Gaya Hidup Sihat’ itu bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada remaja mengenai gaya hidup sihat.

“Tajuk tersebut dipilih berikutan peningkatan statistik masalah kesihatan berkaitan SRH dalam kalangan remaja dan KKM berharap pertandingan ini akan dapat memperkasa remaja dalam membuat keputusan dan pilihan bijak mengenai SRH mereka.

“Mengenai isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), KKM mengamalkan prinsip kesihatan untuk semua tanpa diskriminasi. Sehingga kini terdapat 23 klinik STI Friendly khusus untuk memberi perkhidmatan kepada golongan berisiko tinggi di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan Bernama.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan berita portal online yang melaporkan kritikan aktivis transgender yang dikatakan tersinggung dengan topik kecelaruan gender pada pertandingan tersebut yang berpendapat ia akan menggalakkan diskriminasi, kebencian dan keganasan terhadap kumpulan minoriti.

Ismaweb.net semalam menyiarkan berita mengenai Kementerian Kesihatan menerusi Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, kini melancarkan kempen mencegah kecelaruan gender membabitkan gay, lesbian, transgender, transvestite dan pengkid atau tomboy, bermula Khamis lalu.

Menerusi Pertandingan Video Kreatif Kesihatan Seksual & Reproduktif Remaja Peringkat kebangsaan 2017 bertemakan ‘Hargai Diri, Amalkan Gaya Hidup Sihat’ lima kecelaruan gender itu adalah antara tiga skop utama yang dipertandingkan bermula 1 Jun 2017 hingga 31 Ogos nanti.

Garis panduan pertandingan itu menyatakan setiap video mesti mempunyai unsur-unsur yang menunjukkan akibat menjadi LGBT, bagaimana untuk mencegah dan mengawalnya.

Comments