Home Tempatan Persetujuan Islam agama Persekutuan

Persetujuan Islam agama Persekutuan

SHARE

SELAMA ini antara asas diguna pakai golongan perundangan, akademik dan ahli politik untuk mendakwa Malaysia adalah negara sekular, berpaksikan pada salah satu usul Perikatan bertarikh 27 September 1956 dalam Laporan Suruhanjaya Reid.

Laporan itu antara lain menyatakan, agama bagi Malaysia hendaklah Islam. Pematuhan prinsip ini tidak akan mengenakan sebarang ketidakupayaan ke atas warganegara bukan Islam untuk menganuti dan mengamalkan agama mereka dan ini tidak bermaksud negara (Persekutuan) bukan sebuah negara (Persekutuan) sekular.

Justeru, rencana ini menyingkap penggunaan istilah ‘sekular’ dalam Laporan Suruhanjaya Reid dan adakah ia dipersetujui oleh pihak yang menguatkuasakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957? Usul di atas dibuat susulan Memorandum Raja-Raja bertarikh 12 September 1956 yang menyatakan kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan Islam dalam bidang kuasa negeri.

Memorandum Raja-Raja dan Usul Perikatan itu akhirnya dikemukakan kepada Jawatankuasa Kerja Penyemakan Cadangan Perlembagaan Persekutuan yang bersidang dari 22 Februari hingga 27 April 1957. Pada peringkat awal, Raja-Raja Melayu tidak bersetuju dimasukkan peruntukan ‘Islam sebagai agama bagi Persekutuan’ dalam Perlembagaan.

Meneliti pada dokumen yang ada, isu yang dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Kerja di atas bukan untuk menentukan sama ada Malaysia akan menjadi negara sekular atau tidak.

Isu sebenar dinyatakan dalam telegram Commonwealth Relations Office (CRO) pada 1 Mac 1957, “Timbul salah faham tentang sikap Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mengenai persoalan menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan di bawah Perlembagaan baharu. Oleh itu, perlulah ditegaskan bahawa Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berpandangan bahawa ini (iaitu meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan) tidak boleh dijalankan berdasarkan dua perkara.

Kekal terpelihara

Pertamanya, seseorang Raja Melayu adalah ketua agama Islam di negeri masing-masing yang kedudukan agama ini sudah diabsahkan di sisi Perlembagaan. Keduanya, di bawah penyusunan Perlembagaan baharu yang dicadangkan ini, agama Islam adalah satu perkara yang dikekal terpelihara oleh pihak negeri. Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berpandangan bahawa untuk memperakukan agama Islam sebagai agama Persekutuan akan menyebabkan timbul prejudis ke atas kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing dan cadangan itu akan mencerobohi dengan serius hak negeri dan kerajaan sepenuhnya apabila menangani persoalan agama Islam.”

Isu pokok hanya berkisar mengenai kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing. Selepas melalui proses rundingan, dalam mesyuarat terakhir Jawatankuasa Kerja pada 27 April 1957, Raja-Raja Melayu memberi perkenan untuk memaktubkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Draf Perlembagaan Persekutuan diluluskan oleh kedua-dua badan dalam Parlimen British pada 9 Julai 1957 dan 19 Julai 1957 tanpa pindaan.

Tiada syarat, “dan ini tidak bermaksud negara (Persekutuan) bukannya sebuah negara (Persekutuan) sekular” atau sebarang maksud Malaysia sebagai sebuah negara sekular dimasukkan dalam rang undang-undang Perlembagaan Persekutuan. Justeru Perkara 3, tertakluk pada konsep kedaulatan Raja-Raja Melayu di bawah Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan, hendaklah ditafsirkan berdasarkan perbahasan yang terkandung dalam Official Report of Parliamentary Debates Commons, 19 July 1957, halaman 1599:

“Dalam jawapan terhadap perkara berbangkit mengenai agama rasmi, Setiausaha Negeri-Negeri Jajahan, Alan Lennox-Boyd, menyatakan beliau bersetuju dengan peruntukan ini kerana ia diterima dengan sebulat suara oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan Menteri-Menteri Perikatan. Beliau berasakan sudah wujud jaminan yang mencukupi dalam Perlembagaan untuk mengekalkan kebebasan beragama.

Lennox-Boyd menyatakan: “Perlembagaan itu mempunyai satu urutan jaminan yang menarik untuk mengekalkan kebebasan beragama yang mana Raja-Raja Melayu dan Kerajaan Malaya tidak menimbulkan sebarang bantahan. Saya telah membincangkan perkara ini dengan mereka semasa mereka berada di sini (London). Artikel 3 memperakukan tolak-ansur beragama.

Artikel 11 memperkukuhkan secara khusus kebebasan beragama dalam Perlembagaan. Artikel 12 menjelaskan sebarang bentuk diskriminasi, termasuk diskriminasi beragama, pada masa sama memperkukuhkan hak mana-mana kumpulan agama menjalankan sekolah mereka sendiri dan memperakukan mana-mana agama selain daripada mereka sendiri.”

Berdasarkan fakta sejarah dan perundangan di atas, makalah ini mengajukan bahawa ‘Islam sebagai agama bagi Persekutuan’ dipersetujui berserta beberapa syarat; Pertama, Raja-Raja Melayu kekal sebagai ketua agama di dalam negeri masing-masing.

Kedua, rakyat beragama selain Islam, bebas mengamalkan ajaran agama mereka secara aman di dalam Persekutuan. Ketiga, Islam dalam aspek persendirian (personal law) diletakkan dalam bidang kuasa negeri seperti Senarai II Jadual 9.

Keempat, Islam dalam aspek awam diserahkan kepada kuasa Parlimen. Pada sisi lain, frasa “dan ini tidak bermaksud negara (Persekutuan) bukannya sebuah negara (Persekutuan) sekular” sudah ditolak oleh Raja-Raja Melayu. Sebagai ganti, semua pihak bersetuju dengan kebebasan beragama yang dijamin oleh Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Berita Harian

Comments