Home Kolumnis Tindakan Pre Emptif Tunku, Gagalkan Persekutuan Singapura, Sabah & Sarawak

Tindakan Pre Emptif Tunku, Gagalkan Persekutuan Singapura, Sabah & Sarawak

SHARE

Umum mengetahui, penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, berdepan dengan pelbagai cabaran getir. Kita biasa membaca di dalam teks-teks sejarah, Tunku menghadapi ancaman daripada negara jiran terdekat kita pada waktu itu. Kempen Ganyang Malaysia oleh Indonesia dan sentimen Anti Penubuhan Malaysia di Filipina memuncak pada ketika itu.

Menara.my ingin membawa perhatian kepada peristiwa menarik yang jarang tercatat di dalam buku-buku sejarah tempatan mengenai cabaran penubuhan Malaysia. Peristiwa ini termuat di dalam rakaman memori dalam catatan memoir Almarhum Tunku Abd Rahman al Haj sendiri.

Penubuhan Persekutuan Malaysia Ialah Supaya Persekutuan 3S1B Digagalkan

Almarhum Tunku yang dirakamkan melalui temubual bersama Tan Sri Abdullah Ahmad, menyatakan beliau mengetahui bahawa terdapat perancangan di pihak British untuk mewujudkan sebuah lagi persekutuan di Nusantara. Sebuah Persekutuan yang bakal menggagalkan peranan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan yang dimaksudkan melibatkan penggabungan Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei.

Lalu Almarhum Tunku bertindak cepat dan melakukan tindakan pre emptif dengan mencadangkan kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Tanah Melayu, sekaligus membentuk Malaysia. Tunku tidak berminat dengan Singapura. Sejak awal lagi Tunku tidak mahukan Singapura termasuk di dalam perancangan Persekutuan Malaysia. Katanya, kemasukan Singapura akan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan jumlah penduduk mengikut etnik di Malaysia yang bakal dibentuk nanti.

Malang sekali bagi Tunku, apabila perancangannya dinyatakan kepada pihak British, mereka hanya mahu bersetuju jika Tunku mengambil Sabah, Sarawak dan Singapura di dalam satu pakej. Tunku yang keberatan, menerima juga kemasukan Singapura. Brunei menolak untuk menyertai Malaysia pada saat-saat terakhir. Ketidakseimbangan jumlah pecahan etnik setelah kemasukan Singapura ke dalam Malaysia, menyebabkan berlakunya beberapa peristiwa yang menjejaskan kestabilan politik negara. Pada 1965, Singapura dikeluarkan daripada Malaysia. Tunku menjelaskan seperti berikut :

‘As a price for getting Sarawak and Sabah, I had to agree to take in Singapore. But I had always planned to disengage it from Malaysia, and Lee Kuan Yew’s prompt attempt to gain a share, if not seize power from the Malays, provided the opportunity sooner than even I had thought possible’ 1

Ramai yang menghukum tindakan Tunku mengeluarkan Singapura dari Malaysia tanpa mengetahui bahawa ianya dilakukan untuk memastikan demografi politik Malaysia terjaga dan menepati pelan arkitektur asal Tunku. Sebagai kerabat dari jalur kesultanan antara yang paling tua di dunia, tindakan politik Tunku, menunjukkan kemahiran negosiasi dan mencapai matlamat melalui jalan-jalan damai dan menjauhi jalan konfrontasi.

Dua perancangan British berjaya digagalkan. Yang pertama, pelan penubuhan Persekutuan Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Kedua, pelan mengubah demografi kuasa politik Malaysia melalui kemasukan Singapura, berjaya digagalkan Tunku dengan mengeluarkan Singapura pada 1965.

Al Fatihah untuk Bapa Kemerdekaan Negara.

Rujukan :

1Tan Sri Abdullah Ahmad, Conversation With Tunku Abdul Rahman ,(2016), Marshall Cavendish International (Asia) Limited, Singapore, p. 50 – 51

      *Imran Haaz turut menulis di menara.my

Comments