Home Tempatan Persatuan perubatan Islam ragu khidmat ‘doula’

Persatuan perubatan Islam ragu khidmat ‘doula’

SHARE

Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) membidas golongan yang mempromosikan kelahiran alternatif berbanding khidmat perbidanan yang disediakan oleh institusi kesihatan Malaysia.

Kelahiran alternatif yang dimaksudkan ialah kelahiran melalui kaedah home birthAmani birthgentle birthhypno birthlotus birthnatural birthpool birth dan yang seumpamanya.

Satu kenyataan bersama yang turut melibatkan persatuan itu menyatakan keraguan terhadap kelahiran melalui kaedah yang tidak diiktiraf itu.

Menurut kenyataan berkenaan, tahap ilmu pihak yang menjalankan kelahiran melalui kaedah tersebut diragui kerana golongan tersebut didakwa menjadi pakar dalam bidang perbidanan dengan hanya menghadiri seminar atau latihan.

Walaupun ketika ini tiada undang-undang yang boleh mendakwa golongan bidan alternatif atau ‘doula’, namun mereka tetap bertanggungjawab di sisi agama, kata kenyataan tersebut yang memetik hadis riwayat Abu Daud dan Nasaei.

Hadis tersebut membawa maksud: “Sesiapa yang merawat dan tidak tahu ilmu mengenainya (ilmu perubatan), maka dia dipertanggungjawabkan”.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan oleh timbalan presiden IMAM merangkap pakar perbidanan dan sakit puan, Dr Jamali Wagiman, Ketua Jawatankuasa Fiqh Perubatan Dr Ahmad Faidhi Mohd Zaini dan Exco Kejururawatan Dr Aishah Ali.

Selain itu, IMAM turut mendakwa bahawa kaedah alternatif berkenaan hanya memfokuskan pada aspek keselesaan ibu semata-mata sehingga mengabaikan keselamatan ibu dan bayi.

“Cara ini pastinya menjadi tarikan buat wanita yang lumrahnya romantis dan lemah lembut. Maka mereka terpersona dengan desakan ini demi keselesaan, jauh dari hiruk-pikuk dewan bersalin di hospital,” kata kenyataan berkenaan.

Melihat kepada pandangan syarak pula, IMAM berpendapat perkara paling utama ketika kelahiran adalah memastikan ibu dan bayi selamat.

Ia menepati maqasid utama iaitu mengenai keperluan asas yang wajib dijaga seperti nyawa, akal, keturunan dan harta.

“Bersalin itu satu perjuangan (jihad), tiada masalah dan salah jika harus dikorbankan sejenak keselesaan demi keselamatan anak dan ibu yang lebih utama.

“Namun jika ada kaum ibu yang memilih keselesaan melampaui keselamatan sehingga melanggan bidan alternatif di rumah yang tidak terjamin kemahiran dan kelengkapannya, maka itu suatu yang aneh dan patut dikesali,” kata kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun IMAM berkata, keputusan terletak di tangan masing-masing untuk memilih sama ada mahu dapatkan rawatan bidan alternatif tidak berdaftar dan terlatih atau perkhidmatan doktor pakar dan jururawat terlatih.

Media sebelum ini melaporkan kes kematian bayi ketika dilahirkan dengan cara ‘homebirth’ dan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi ketika dalam pengawasan ‘doula’.

Kesi itu tular di laman sosial Facebook dan mendapat perhatian kumpulan pengamal perubatan Medical Mythbusters Malaysia (3M) yang mengeluarkan surat terbuka kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Comments