Home Tempatan Permaisuri Johor: Gembleng usaha tingkat taraf bahasa Inggeris

Permaisuri Johor: Gembleng usaha tingkat taraf bahasa Inggeris

SHARE

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bertitah agar digembleng usaha bagi mewujudkan lebih banyak peluang untuk anak-anak muda belajar bahasa Inggeris agar mereka mendapat tempat di pentas dunia.

Baginda menegaskan campur tangan serius dan segera diperlukan kerana kini berlaku kemerosotan yang begitu ‘dramatik dan mendadak’ dalam kecekapan bahasa Inggeris, tulisan dan lisan, dalam kalangan anak-anak muda secara umumnya.

“Kita tidak harus bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk mengubah trend ini. Kita perlukan guru-guru bahasa Inggeris, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan entiti korporat berganding bahu untuk mengambil tindakan proaktif,” kata baginda dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Akhbar Diraja hari ini.

Raja Zarith Sofiah, yang merupakan Penaung Diraja Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris (MELTA), turut menggesa semua pihak terlibat terus memotivasi dan mendorong pelajar bertutur dan menulis dalam Inggeris.

”Ini boleh dilakukan… bahasa Inggeris masih boleh menjadi bahasa pengetahuan dan komunikasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Impian saya ialah ingin melihat anak-anak muda Malaysia melanjutkan pengajian di universiti-unversiti bertaraf dunia seperti Harvard atau Oxford dan seterusnya menjadi ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat-syarikat global. Bagi mencapai matlamat sedemikian, mereka perlu belajar bahasa Inggeris,” tegas baginda.

Raja Zarith Sofiah menarik perhatian bahawa di sekolah-sekolah hari ini, pelajar takut bertutur bahasa itu kerana khuatir akan dipersenda sebab cuba menjadi “Mat Salleh”.

“Persepsinya ialah jika anda tidak bercakap bahasa Melayu, anda tidak bangga menjadi rakyat Malaysia. Jadi mereka berpatah balik dan tidak jadi bercakap bahasa Inggeris,” titah baginda dan menambah penekanan yang lebih perlu diberikan kepada kelas bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

 

Comments