Home Antarabangsa Perlu suruhanjaya siasat kezaliman tentera Myanmar – PBB

Perlu suruhanjaya siasat kezaliman tentera Myanmar – PBB

SHARE

GENEVA: Wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Asasi Manusia ke Myanmar semalam, menggesa penubuhan Suruhanjaya Inkuiri (COI), agensi penyiasatan tertinggi badan dunia itu bagi menyiasat kes penderaan di negara berkenaan.

Lee Yang-hee mengemukakan rayuan itu dalam laporan yang diserahkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, yang kini mengadakan sesi tahunannya di sini.

Beliau menggesa majlis yang dianggotai 47 anggota itu menubuhkan COI ‘untuk menyiasat diskriminasi bersistematik dan berstruktur terhadap dasar, undang-undang dan amalan, selain penganiayaan berterusan ke atas penduduk Rohingya dan minoriti lain di negeri Rakhine’.

Yang-hee berkata, siasatan perlu memberi tumpuan kepada kes keganasan pada 2012 dan 2014 serta kezaliman tentera terhadap penduduk Islam Rohingya di utara Rakhine sejak Oktober lalu, yang dilancarkan bagi membalas dendam di atas serangan militan terhadap pos pemeriksaan polis di kawasan sempadan.

Beliau berkata, tindakan tentera itu boleh dianggap sebagai menyamai jenayah kemanusiaan. Siasatan Majlis Hak Asasi Manusia PBB itu menuduh anggota pasukan keselamatan Myanmar membunuh, merogol dan menyeksa penduduk Rohingya dalam operasi di Rakhine sejak Oktober lalu.

Sementara itu, Myanmar menolak tekanan antarabangsa berhubung dakwaan penderaan ke atas etnik Islam Rohingya dan menyifatkan ia sebagai ‘berat sebelah dan tidak adil.’ – AFP/CHANNEL NEWS ASIA

Berita Harian

Comments