Home Pendapat Perlembagaan Persekutuan Dan Atheism – Tun Abdul Hamid Mohamad

Perlembagaan Persekutuan Dan Atheism – Tun Abdul Hamid Mohamad

SHARE

Rencana ini berbangkit daripada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pihak mengenai hak dan kedudukan atheist dalam Perlembagaan Persekutuan di kebelakangan ini. Saya tidak akan menyebut satu persatu apa yang dikatakan oleh siapa atau siapa betul dan siapa tidak. Saya mengambil kira kesemuanya dalam menulis rencana ini.

Mula-mula eloklah saya perturunkan peruntukan Perkara 11 Perlembagaan setakat yang berkenaan:

“Kebebasan beragama

11. (1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.
….

(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang- undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.”

Perhatikan bahawa Perlembagaan menjamin kebebasan seseorang untuk menganuti dan mengamalkan agamanya. Maka, mestilah ada agama yang dianuti barulah timbul hak untuk dijamin. Jika seseorang itu tidak menganuti dan tidak mengamal apa-apa agama, apa yang hendak dijamin? Perlembagaan tidak boleh melindungi sesuatu yang tidak ada.

Maka, timbullah soalan sama ada atheism satu agama atau tidak. Saya tidak mahu berhujah mengenainya, selain deripada menimbulkan beberapa persoalan. Biasanya, agama dikaitkan dengan tuhan, tidak kira berapa, tidak kira apa sifatnya, tidak kira yang besar atau kecil. Penganutnya akan menyembahnya, tidak kira apa caranya. Peganutnya dikenali mengikut nama agama itu, misalnya, seorang Islam, Kristian, Budha, Hindu dan seterusnya.

Ada pihak yang menghujahkan bahawa agama tidak semestinya berteraskan adanya tuhan. Mereka memberi agama Budha sebagai misalan. Saya sendiri tidak arif mengenai ajaran agama Budha. Katakanlah, kenyataan itu betul, tokong dan wat itu dibina untuk apa? Apa kerja sami-sami Budha? Apa yang dilakukan oleh penganut agama Budha apabila mereka pergi ke tokong atau wat Budha? Mereka bersembahayang atau menyembah Budha dan mereka meminta sesuatu. Di sini, mereka telah menaikkan Budha ke taraf tuhan, sama seperti Roman Katholik menaikkan taraf Nabi Isa (a.s.) kepada anak tuhan.

Dalam kata2 lain, walaupun Budha tidak mengajar mengenai tuhan, penganut-penganut agamanya telah menjadikannya tuhan untuk disembah. Maka, agama Budha pun ada “tuhan”.

Katakanlah kita terima hujah bahawa agama tidak semestinya ada tuhan dan penganut semua agama, termasuk yang tidak mempercayai adanya tuhan, dijamin oleh Perlembagaan hak untuk menganut dan mengamal agamanya. Soalan seterusnya ialah, adakah atheism satu agama?

Orang-orang atheist cuma percaya bahawa tuhan itu tidak ada. Kepercayaan itu terhenti di situ. Jika tuhan tidak ada, maka tidak adalah suruhan dan larangannya. Maka apakah yang hendak di amalkan? Sebagai misalan, kewajiban solat bagi orang Islam wujud kerana Allah swt (Tuhan penganut-penganut agama Islam) mewajibkannya. Maka mengamalkan solat adalah “mengamalkan agama” yang dilindubgi oleh Perlembagaan.

Yang tinggal hanyala kepercayaan yang dianuti, dalam Bahasa Inggerisnya “professing”. Hanya jika kita terima bahawa athiesm adalah satu agama dan ia adalah satu agama yang tidak mempercayai adanya tuhan, maka barulah penganutnya mendapat perlindungan Perkara 11(1).

Bagaimana mahkamah akan memutuskan soalan-soalan yang saya timbulkan itu saya tidak tahu. Saya sengaja tidak memberi jawapan saya kepada soalan-soalan itu kerana saya mahu semua pembaca rencana saya berfikir dan membuat keputusan sendiri.

Sekarang kita pergi kepada fasal (4). Perhatikan bahawa fasal (4) memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri (dan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, Parlimen) untuk membuat undang-undang bagi “mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.”

Adakah penyebaran fahaman atheism termasuk dalam peruntukan itu? Ini juga terletak kepada sama ada atheism satu agama atau tidak. Sebabnya ialah, apa yang boleh dikawal atau disekat ialah penyebaran doktrin atau kepercayaan agama.

Kesimpulannya: jika atheism itu satu agama, maka penganut-penganutnya diberi perlindungan oleh Perlembagaan untuk menganut dan mengamalnya. Tetapi mengembangkan doktrin atau kepercayaan itu di kalangan orang Islam boleh dikawal atau disekat.

Sebaliknya, jika athesm itu bukan satu agama, jaminan yang diberi oleh Perkara 11(1) tidak meliputi penganut-penganutnya. Tetapi pengembangan kepercayaan mereka di kalangan penganut agama Islam tidak boleh dikawal atau disekat mengikut Klausa (4).

Penganut-penganut atheism tidak boleh berkata untuk tujuan fasal (1) atheism adalah satu agama tetapi untuk tujuan fasal (4) ia bukan satu agama. Itu samalah dengan berkata untuk satu tujuan tuhan itu ada dan untuk tujuan lain, ia tidak ada. Saya percaya penganut kepercayaan atheism juga tidak berpendirian demikian.

Satu peruntukan lagi yang perlu diberi perhatian, ia itu fasal (5). Ia menjelaskan bahawa kebebasan yang dijamin itu tidak termasuk “apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.” Ungkapan yang berkenaan dengan isu atheisme ialah “undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam.

Comments