Home Tempatan Perketat undang-undang terhadap penyebaran berita palsu

Perketat undang-undang terhadap penyebaran berita palsu

SHARE

KOTA BHARU – “Penguatkuasaan undang-undang terhadap penyebaran berita  palsu melalui pelbagai platform media sosial perlu diperketatkan,” kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak ia merosakkan sistem demokrasi serta ekonomi negara yang akhirnya menyebabkan rakyat menjadi mangsa akibat perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah individu.

“Penyebaran berita palsu ini nampaknya menjadi modal bagi sesetengah pihak untuk merebut kuasa dengan cara tidak beretika. Mereka cuba mempengaruhi rakyat dengan berita tak betul.

“Ada juga penyebaran berita palsu yang bertujuan menakut-nakutkan pelabur dari luar, dengan mendakwa Malaysia (kononnya) akan bankrap dan sebagainya. Tindakan sebegini akan membunuh demokrasi,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran dan penyampaian bantuan  bersama penduduk di kawasan Parlimen Ketereh di kediamannya di Seri Puri, Bukit Marak, di sini hari ini.

Annuar, yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata, kerajaan perlu mengikut jejak langkah beberapa negara luar yang berusaha memperkenalkan undang-undang lebih tegas untuk membendung berita palsu.

Dalam pada itu, menurutnya, Barisan Nasional (BN) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan tempoh maksimum selama empat jam bagi menjawab setiap penularan berita palsu terutama bagi menangkis fitnah dilemparkan pembangkang.

“Setiap berita palsu yang sampai dekat kita, kita akan respons dalam tempoh tak sampai empat jam. Kita akan buat pembetulan (terhadap sebarang tuduhan) walaupun tahu ia bukan merupakan kerja yang mudah.

“Saya jangkakan semakin hampir Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) gejala ini akan terus meningkat termasuk kemungkinan ada rancangan (pihak tertentu) untuk menyebarkan berita palsu di saat-saat akhir hingga menyebabkan kita tiada masa untuk memperbetulkan fitnah dan memberi kelebihan kepada mereka,” katanya.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Sinar Online

Comments