Home Tempatan Perkasa seru ahli Parlimen sokong usul PAS

Perkasa seru ahli Parlimen sokong usul PAS

Ia berkata sudah tiba masa hukuman lebih berat diwujudkan.

SHARE

PETALING JAYA: Pertubuhan hak Melayu, Perkasa merayu semua ahli Parlimen menyokong rang undang-undang (RUU) yang dicadangkan PAS bagi menambah hukuman syariah, selepas seruan berasingan oleh kumpulan G25 agar wakil rakyat menolak usul itu.

Menurut Perkasa, intipati usul yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, terkandung dalam titah Yang Di-Pertuan Agong ketika merasmikan Penggal Keempat Parlimen Ke-13 Isnin lalu.

“Kali terakhir ia dipinda pada tahun 1984 berupa peningkatan dari penjara 6 bulan dan denda RM1,000. Justeru hukuman yang ada sudah lapuk dan tidak langsung menggerunkan pesalah,” kata Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Amini Amir Abdullah.

“Puak G25 tidak memahami bahawa sememangnya sudah sedia wujud 2 set sistem perudangan dan mahkamah yang berbeza iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah.”

G25 yang merupakan kumpulan bekas pegawai kanan Melayu baru-baru ini merayu ahli Parlimen agar tidak menyokong RUU apabila ia dibahaskan di Dewan Rakyat kerana ia tidak berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.

Amini berkata cadangan menambah hukuman terhadap pesalah syariah menerima sokongan umat Islam.

“Dan ia adalah hasrat majoriti umat Islam yang percaya dengan kedaulatan Islam sebagai agama negara,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments