Home Tempatan Perkasa Rukun Negara boleh dilaksana dengan perundangan lain, bukan jadikan sebagai mukadimah...

Perkasa Rukun Negara boleh dilaksana dengan perundangan lain, bukan jadikan sebagai mukadimah Perlembagaan

SHARE

BANGI, 10 Jamadilawal 1438H, Selasa – Cadangan untuk memperkasa Rukun Negara boleh dilaksanakan dengan perundangan lain, bukannya melalui Perlembagaan.

Perkara itu ditegaskan Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz dengan menyifatkan cadangan beberapa ahli akademik serta aktivis untuk menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan perlukan kajian mendalam.

Katanya, penghayatan kepada Rukun Negara tidak secara mudah boleh berlaku dengan memasukkan dalam Perlembagaan, sebab itu ia perlukan usaha dalam bentuk lain.

“Bagi tujuan mendapatkan pengesahan undang-undang kepada Rukun Negara, ia boleh diperkasa melalui perundangan lain, bukan Perlembagaan.

“Ia boleh diterjemahkan ke dalam perundangan jenayah, misalnya. Sebagai contoh, pindaan telah dilakukan kepada Kanun Keseksaan dengan menjadikan kesalahan dalam seksyen seperti, 124B hingga 124F,” katanya dalam tulisan kolumnis Berita Harian, hari ini.

Baru-baru ini sekumpulan ahli akademik dan aktivis telah melancarkan satu inisiatif untuk menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan.

Inisitiaf yang dikenali sebagai Rukun Negara Mukadimmah Perlembagaan (RMP) tersebut bermatlamat antaranya menjadikan dokumen negara itu sebagai garis panduan kepada penggubalan undang-undang negara.

RMP digerakkan oleh lebih 100 individu berpengaruh di kalangan masyarakat awam, termasuk pakar perlembagaan berfikiran liberal, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi; ahli akademik, Prof Dr Tan Chong Tin; peguam, Firdaus Husni serta aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir dan Zainah Anwar.

Mengulas lanjut, Prof Shamrahayu berkata, mereka perlu faham sejarah gubalan Perlembagaan Persekutuan berbeza dengan sejarah kewujudan Rukun Negara.

“Dalam membentuk Perlembagaan, kita dapati pelbagai pihak terbabit, terutama Raja-Raja Melayu dengan pelbagai memorandum dan mesyuarat. Prosesnya lebih panjang dan lebih banyak pihak terbabit. Namun Rukun Negara, walaupun prosesnya rumit, ia membabitkan Mageran.

“Maka kelahiran Rukun Negara adalah hasil gerakan rakyat bertujuan mengembalikan perpaduan yang sudah rapuh. Oleh itu, keduanya mempunyai sejarah berbeza,” katanya.

Jadi beliau berkata, cadangan mereka tidak bermasalah sekiranya ia berada di luar Perlembagaan seperti sekarang.

“Tetapi ia akan menimbulkan masalah tafsiran apabila berada dalam Perlembagaan kerana Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi. Perbezaan matlamat negara dan perundangan bagi orang Islam pula, tidak boleh menukar agamanya, tetapi adakah maksud matlamat menjadi sebuah negara demokratik yang ada dalam matlamat negara akan memberikan ‘hak’ kepada orang Islam untuk menukar agamanya.

“Malah, keadaan mungkin menjadi sukar apabila teks Perlembagaan tidak menggunakan istilah ‘demokrasi’ walaupun perkataan itu pernah disebut dalam Laporan Suruhanjaya Reid dan digunakan dalam Rukun Negara. Ini antara contoh konflik yang mungkin berlaku,” katanya lagi.

Comments