Home Tempatan Perkasa: Menteri Singapura hina Agong, kerajaan Malaysia

Perkasa: Menteri Singapura hina Agong, kerajaan Malaysia

Sirajuddin Salleh berharap Wisma Putra akan menghantar surat bagi membantah kenyataan tidak wajar Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang Singapura, K Shanmugam.

SHARE

PETALING JAYA: Pertubuhan hak Melayu, Perkasa mahu Kementerian Luar menghantar surat bantahan kepada seorang menteri kanan Singapura yang mendakwa orang Melayu di negara itu lebih baik dari segi kedudukan pendidikan, kemahiran dan kemewahan berbanding masyarakat Melayu di Malaysia atau Indonesia.

Timbalan Pengerusi Perkasa, Sirajuddin Salleh berkata, kenyataan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang Singapura, K Shanmugam itu tidak wajar.

“Saya bimbang dengan kenyataan itu. Ia tidak diplomatik. Ia satu penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Malaysia,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas kenyataan Shanmugam.

Sirajuddin berkata, Malaysia dan Singapura adalah negara jiran rapat dan diplomasi kedua-dua negara perlu dihormati.

“Saya berharap Wisma Putra akan mengeluarkan surat bantahan. Bagi saya, kenyataan itu tidak baik. Saya tidak akan sentuh kandungannya kerana ia sangat subjektif.

“Sama seperti apabila dia datang ke rumah saya dan kata sesuatu yang tidak baik. Sama ada dia betul atau tidak, itu adalah subjektif tetapi ia tidak berapa baik,” kata Sirajuddin.

Channel News Asia memetik Shanmugam sebagai berkata: “Dengan sistem politik stabil dan kuat, sebuah kerajaan kuat dengan jaminan untuk minoriti…berdasarkan rangka kerja ini, kita boleh menjadi komuniti yang menjadi contoh kepada masyarakat Islam di negara lain.”

Beliau berkata, kumpulan profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik Melayu di Singapura lebih baik daripada golongan itu di Malaysia, dengan hampir 90% isi rumah Melayu memiliki rumah sendiri.

Katanya, begitu juga dengan kaum Cina dan India di Singapura yang mengatasi rakan sebangsa mereka di rantau ini.

Shanmugan berkata, dari segi pendidikan, 93% murid darjah satu berjaya melanjutkan pelajaran ke pendidikan menengah pada 2015 berbanding hanya 45% pada 20 tahun lalu, manakala mereka yang berkelulusan diploma politeknik, profesional dan ijazah universiti “meningkat kepada 21% dalam tempoh 5 tahun”.

Pun begitu katanya, masih ada jurang dan kini Singapura perlu bersaing dengan dunia dan masyarakat Melayu-Islam berdepan 3 cabaran – radikalisme, kehilangan kerja, pembabitan dalam jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, 53% daripada tangkapan dadah tahun lalu terdiri daripada orang Melayu berbanding 32% pada 10 tahun lalu.

Menteri itu memetik satu kajian Pew Research Center yang menunjukkan 10% orang Melayu Malaysia mempunyai tanggapan baik terhadap IS dan hampir 1 perempat tidak bersedia tampil dan mengatakan IS adalah salah.

Free Malaysia Today

Comments