Home Tempatan Perjuangan Hak Golongan LGBT Untuk Beragama – WAFIQ

Perjuangan Hak Golongan LGBT Untuk Beragama – WAFIQ

SHARE

Laporan yang dikeluarkan oleh Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process (COMANGO) baru-baru ini dibidas kumpulan The Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA) kerana dikatakan telah cuba memberikan gambaran buruk terhadap rakan-rakan NGO hak asasi tempatan secara tidak bertanggungjawab.

Kenyataan media yang dikeluarkan MACSA terhadap COMANGO antara lain mengecam kumpulan NGO tersebut sebagai sebuah NGO yang sebenarnya menghancurkan hak asasi manusia yang kononnya mereka pegang.

Menara.my baru-baru ini mengambil inisiatif menemubual Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar bersama UNIT MUHAJIRAH WAFIQ yang telah menyantuni saudara-saudara kita yang terjebak dalam gejala LGBT khususnya lesbianisme dan kini berusaha untuk mendekatkan diri dengan Islam.

WAFIQ adalah badan gabungan Malaysia Alliances of Civil Society Organisations for UPR Process atau MACSA memperjuangkan hak golongan LGBT untuk beragama kerana gerakan pro-LGBT membantah sebarang pendekatan agama dengan mengadu kepada pihak antarabangsa kononnya pendekatan agama ini yang sebenarnya mencetus keganasan, walhal ianya adalah isu berbeza.

Selain itu, WAFIQ juga bertindak sebagai penasihat kepada ramai lagi golongan yang ingin mencari agama dan berharap inisiatif atas usaha ini mendapat sokongan dari semua pihak.

Ikuti temubual eksklusif Menara.my bersama Dr Rafidah dalam menangani isu LGBT di samping permasalahan yang timbul dan cadangan-cadangan menyelesaikannya agar golongan ini tidak terus merasa dipinggirkan.

WM: Boleh perjelaskan perjumpaan Dr dengan kumpulan LGBT celik agama baru-baru ini?

DR RAFIDAH: Sebenarnya telah lebih 2 tahun saya mengenali mereka melalui program yang dianjurkan oleh Yayasan Ihtimam dan apabila saya diundang sebagai panelis bersama dalam program dakwah anjuran JAKIM. Saya selalu berbincang bersama mereka tentang masalah-masalah dan cabaran. Memang bukan mudah mereka menempuh kehidupan dalam keadaan masyarakat kurang memahami.

Saya juga dimaklumkan semakin hari semakin ramai kes-kes terperangkap ke dalam kancah lesbianisme, di mana mereka ini lebih senang mengadu kepada bekas-bekas lesbian bagi mendapatkan nasihat, kerana faktor memahami, sebagaimana bekas mak nyah membantu dalam aktiviti rehabilitasi.

Mereka yang berhijrah ini juga memberitahu saya, NGO bekas transgender lebih tersusun dan ke depan, namun bagi bekas-bekas lesbian yang ingin membantu dalam menangani masalah ini, tiada NGO khusus yang diterajui mereka, maka kerana itu Unit Muhajirah WAFIQ ditubuhkan.

WM: Penting untuk umum diberi pendedahan bahawa agama tidak memusuhi kumpulan ini cuma mahu mereka sedar garis panduan dan larangan-larangan agama yang harus dipatuhi sebagai Muslim, boleh Dr perjelaskan?

DR RAFIDAH: Dalam kajian saya mengenai mak nyah, dan dalam kajian awal mengenai lesbian, masih terdapat banyak faktor boleh-ubah yang mempengaruhi perlakuan sebegini, antaranya faktor didikan dan keibubapaan, faktor kekurangan pengetahuan agama, faktor trauma akibat kejadian buruk mempengaruhi diri dan sebagainya.

Maka adalah penting untuk kita terus-terusan memberi mereka peluang seluas-luasnya mengetahui tentang prinsip agama dalam masalah LGBT, contohnya, hukum Sihaq/Musaahaqah tetapi dalam masa yang sama kita tidak memaksa perubahan mendadak. Kita menerima mereka seadanya dalam konteks perubahan tersebut dan sentiasa menjadi pihak yang mendengar. Sebagai sahabat yang jujur, dan prinsip ini terpakai untuk semua orang, kita harus jujur, tanpa judgemental, tanpa menghukum, menyampaikan hukum Islam yang sebenar, kerana itu hak mereka sebagai saudara kita.

WM: Mungkin juga Dr boleh perjelaskan peri pentingnya ada kerjasama antara NGO Hak Asasi Muslim dengan kumpulan-kumpulan ini supaya mudah kerja dakwah untuk pertahankan hak-hak mereka?

DR RAFIDAH: Ya, hubungan yang berterusan itu penting. Unit Muhajirah WAFIQ bukan satu-satunya yang menyantuni mereka, bahkan ada pihak-pihak lain turut menggembleng tenaga, misalnya Usrah Iqra yang dibimbing Ustaz Dr Mohd Izwan mempelajari kelas tafsir, kelas fardu Ain dan Al-Quran oleh majlis-majlis agama.

WM: Maaf saya mencelah. Seringkali apakah masalah yang timbul bila ada usaha ke arah kebaikan itu tidak terlihat di mata awam?

DR RAFIDAH: Masalah kenapa NGO Islam Hak Asasi yang menangani masalah ini kurang nampak di mata awam berbanding NGO pro-LGBT adalah pertamanya kerana faktor media yang bias, terutamanya media yang berbahasa Inggeris yang hanya memberi liputan kepada kumpulan-kumpulan seperti Justice for Sisters, Nisha Ayub dan lain-lain, maka naratif mereka bahawa LGBT ini semulajadi dan tidak dapat berubah itu selalu diketengahkan. Saya ada menulis tentang LGBT dari sudut pandangan Islam, pendekatan agama dan “success stories” mereka yang meninggalkan gaya hidup ini tetapi tidak diterbitkan kerana bertentangan dengan naratif mereka sedangkan kita ada bukti.

Keduanya, dalam rangka membina hidup baru, ada di antara bekas lesbian dan mak nyah yang ingin terus melupakan kehidupan silam mereka dan tidak ingin memperkatakannya lagi. Kita amat menghormati pendirian mereka. Ini berbeza dengan kumpulan pro-advokasi LGBT yang sentiasa bersedia muncul di media dan memenuhi undangan.

WM: Kesan daripada serangan tidak bertanggungjawab COMANGO terhadap WAFIQ dan NGO-NGO hak asasi yang lain, boleh Dr perjelaskan?

DR RAFIDAH: COMANGO baru-baru ini menyerang secara tidak adil beberapa NGO hak asasi yang lain, seperti MACSA dan CENTHRA dalam sidang akhbar yang sepatutnya digunakan untuk memperkatakan tuntutan mereka. Saya panggil ini sebagai ‘cheap shot’ untuk menyalahkan pihak lain atas kekurangan pihak mereka.

MACSA dan organisasi gabungan di bawahnya seperti CENTHRA dan WAFIQ sedari awal telah menggariskan dasar perjuangan hak asasi mereka di mana selain dari mematuhi ketetapan UDHR 1948, badan gabungan NGO Islam ini turut mematuhi ketetapan Deklarasi Kaherah yang mengandungi artikel teguh berpegang kepada prinsip Islam dan kekeluargaan dan tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia.

Serangan COMANGO disiarkan secara meluas oleh media berbahasa Inggeris seperti Malaysiakini, Malay Mail Online, Free Malaysia Today dan media yang sama menggelapkan penjelasan balas MACSA terhadap tuduhan COMANGO. Ini menggambarkan media liberal juga berselindung di sebalik slogan “free and fair coverage of issues”, tidak profesional dan hanya menjadi alat kepada kumpulan hak asasi tertentu.

Walau bagaimanapun MACSA tidak akan rasa tergugat, sebaliknya menggunakan segala saluran yang ada dalam advokasi isu-isu hak asasi yang ada, dan mendedahkan kepada anak-anak muda, hipokrasi pihak-pihak ini.

WM: Apakah Harapan WAFIQ terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang baru?

DR RAFIDAH: Saya berharap kerajaan Pakatan Harapan memberi perhatian yang khusus dalam isu LGBT ini. Naratif satu hala oleh pihak seperti COMANGO dan media liberal yang mengenepikan sama sekali pendekatan agama tidak wajar menjadi pendirian negara kita dalam isu hak asasi manusia. Bahkan Tun Mahathir dalam visi 2020 mengatakan Malaysia harus maju dalam segenap bidang, termasuk sosial mengikut acuan kita. Saya yakin, masyarakat non-Muslim yang pro-famili juga sependapat dengan saya. Saya masih ingat seorang ibu berketurunan India menyampaikan terima kasih kepada saya setelah artikel saya mengenai unsur LGBT dalam kartun Disney tersiar di dada akhbar.

Begitu juga, kesediaan Unit Muhajirah WAFIQ ke depan di media sosial adalah kerana mereka ingin menyampaikan kepada kerajaan akan pentingnya sumbangan JAKIM dalam proses penerangan, bimbingan dan menyediakan kelas-kelas kepada mereka. Sekiranya kerajaan mengikut naratif COMANGO dan NGO pro-LGBT yang memberi fakta yang salah, sudah tentu peluang dan hak beragama kepada komuniti LGBT, tertutup.

WM: Sebagai penutup, ada apa-apa yang Dr ingin tambah dan katakan?

DR RAFIDAH: Lagi satu yang ingin saya tambah adalah tuduhan dari Siti Kasim turut menuduh WAFIQ dibiayai dengan mewah oleh kerajaan. Suka saya nyatakan, sehingga kini WAFIQ adalah NGO wanita yang bergerak tanpa bantuan mana-mana dana kerajaan.

WM: Terima kasih sekali lagi Dr atas kesudian ditemubual oleh Menara.my.

DR RAFIDAH: Sama-sama.Terima kasih kembali kerana sudi menemubual saya.

Comments