Home Kolumnis Peristiwa Cadangan Penggiliran Jawatan YDP Agong Antara Semenanjung, Sabah & Sarawak

Peristiwa Cadangan Penggiliran Jawatan YDP Agong Antara Semenanjung, Sabah & Sarawak

SHARE

Memoir Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz bin Abdul Rahman mencatatkan satu pengalaman menarik yang terhasil daripada perdebatan yang terbit daripada salah faham terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Penubuhan Malaysia. Ia berkenaan hasrat yang disuarakan oleh sekumpulan wakil Sabah dan Sarawak di dalam sebuah mesyuarat yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah semasa tahun 1980 an.

Ketika itu, Abdul Aziz Abd Rahman (Tan Sri), berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Institute of International and Strategic Studies (ISIS). Tun Hussein Onn pula sebagai Pengerusi. Beliau diarahkan untuk menghadiri satu mesyuarat di Kota Kinabalu, Sabah. Tujuan yang ditetapkan ialah bercakap mengenai Perlembagaan Persekutuan di sana.

Berlaku sesuatu yang mengejutkan Tan Sri Abdul Aziz di sana. Pada sangkaan Tan Sri Abd Aziz, beliau hanya perlu hadir untuk menjelaskan mengenai perihal Perlembagaan Persekutuan. Tetapi, apa yang berlaku di dalam mesyuarat tersebut ialah wakil dari Sabah dan Sarawak mula mendakwa bahawa Malaysia terdiri dari 3 wilayah yang bergabung. Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dikatakan tiga wilayah yang bergabung membentuk Malaysia.

Selepas menyatakan perkara demikian, wakil-wakil ini menuntut supaya jawatan Yang Di Pertuan Agong, mesti digilir-gilirkan antara Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Tan Sri Abdul Aziz kemudiannya menjelaskan, menurut Perlembagaan Persekutuan, Malaysia bukanlah dibentuk melalui gabungan wilayah-wilayah, tetapi melalui persekutuan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu dan negeri Sabah dan negeri Sarawak. Untuk mengangkat Sabah dan Sarawak sebagai wilayah (regions), ia memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan itu sendiri. Dan untuk perkara pindaan seumpama ini, ia memerlukan majoriti 2/3 undi di Dewan Rakyat.

Melihat kepada peristiwa ini, Tan Sri Abd Aziz menyedari bahawa Perlembagaan Persekutuan masih tidak difahami dengan baik, membuatkan beliau bertekad untuk menjadikan misi hayatnya (life mission) untuk menjelaskan tentang sejarah dan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan di mana juga kesempatan yang beliau berbuat demikian.

Buku terbitan Tun Suffian Foundation Incorporated  yang memuatkan kisah ini berjudul, ‘Tan Sri Dato’ Indera Abdul Aziz bin Abdul Rahman’ dengan tajuk kecil ‘On course from take-off to touch down’ hasil usaha keras Sharifah Maryam Syed Mansor Al Idrus.

Rujukan :

Sharifah Maryam Syed Mansor Al Idrus, Tan Sri Dato’ Indera Abdul Aziz bin Abdul Rahman :On course from take-off to touch down, (2017), Tun Suffian Foundation Inc, Kuala Lumpur, p. 185 – 186

Comments