Home Tempatan Perintah berkurung di ESSZONE dilanjutkan

Perintah berkurung di ESSZONE dilanjutkan

SHARE

KOTA KINABALU, 9 Syaaban 1438H, Sabtu- Perintah berkurung fasa ke-64 di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dilanjutkan dua minggu lagi bermula esok.

Tempoh perintah berkurung yang berakhir hari ini dikuatkuasakan fasa baru dari jam 6 petang hingga 6 pagi sehingga 22 Mei ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, peraturan itu dikuatkuasakan di perairan bermula tiga batu nautika dari pantai di tujuh daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Sehubungan itu katanya, orang ramai di daerah terbabit diingatkan supaya tidak berada di lokasi yang diisytiharkan sebagai kawasan perintah berkurung.

Jelas beliau, keperluan meneruskan perintah berkurung di perairan terbabit adalah bagi memastikan ia tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa.

“Selain itu mengelakkan pelancong di pulau peranginan daripada menjadi mangsa penculikan kumpulan pengganas dari selatan Filipina.

“Ini kerana maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayaf masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan.

“Kita juga mahu menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah, yang menjadi pengguna perairan dan berada di daratan di kawasan ESSZONE,” katanya.

Comments